AM

ANGKASA Optimum Peruntukan RM4.4 Juta KWAPB Perkasa Ekosistem Koperasi

29/01/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan mengoptimumkan peruntukan RM4.4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb) bagi memperkasa ekosistem koperasi merangkumi aspek pendidikan, pembangunan perniagaan dan keusahawanan berimpak tinggi.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata peruntukan itu akan dimanfaat bagi memastikan gerakan koperasi kekal relevan dan berdaya saing khususnya dalam mendepani cabaran pendigitalan serta perluasan pasaran selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Antara perancangan utama ialah pengukuhan pendidikan koperasi melalui inisiatif seperti Program Pembangunan Kepimpinan dan Keusahawanan Muda Koperasi (SLiCE) serta Program Kepimpinan Koperasi (CLP) bagi melahirkan pemimpin koperasi yang kompeten,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menerima lawatan rasmi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong di Wisma ANGKASA hari ini.

Terdahulu, Sim mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM254 juta bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun ini, yang juga jumlah tertinggi sejak gerakan koperasi ditubuhkan di negara ini.

Beliau berkata peruntukan itu, yang mencatat peningkatan 167 peratus berbanding tahun lepas, melibatkan RM226 juta melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan RM27.9 juta dalam bentuk geran pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dana RM27.9 juta itu diperuntuk dalam bentuk geran melibatkan 20 program di bawah KWAPb, Kumpulan Wang Pusat dan Bajet Pembangunan RMK13.  

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata ANGKASA turut merangka program bersasar untuk memacu perniagaan melalui pembentukan konsortium, pemadanan perniagaan dan transformasi digital.

“Kaedah bimbingan mentor-menti akan diperkukuh bagi meningkatkan perolehan ekonomi koperasi komuniti dan memastikan setiap dana memberi manfaat langsung kepada anggota di semua peringkat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan kerajaan dan memaklumkan bahawa ANGKASA akan terus bekerjasama erat dengan SKM bagi memastikan pelaksanaan program yang telus serta berimpak tinggi terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan