KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Proton Holdings Bhd menawarkan insentif tukar beli melibatkan semua model semasa dalam rangkaiannya kepada pelanggan yang menukar beli kenderaan berusia 20 tahun atau lebih.
Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu adalah selaras dengan pelancaran program geran padanan kerajaan bagi penggantian kenderaan lama.
Menurutnya nilai insentif yang ditawarkan akan dipadankan melalui program geran padanan sehingga RM2,000 sekali gus membantu mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu Proton.
“Kesemua model Proton layak di bawah tawaran ini termasuk insentif sehingga RM1,000 untuk pembeli Proton Saga dan Proton e.MAS 5.
“Insentif bernilai RM2,000 ditawarkan bagi model lain dalam rangkaian Proton termasuk Proton X50 dan Proton X70 yang telah dikemas kini serta Proton e.MAS 7,” katanya.
Menurut Proton jumlah maksimum insentif yang boleh diterima pelanggan menerusi geran padanan kerajaan, masing-masing sehingga RM2,000 dan RM4,000.
Katanya penawaran insentif ini menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah kenderaan lama di jalan raya dan menggalakkan penggantian kenderaan yang lebih selamat, mesra alam dan cekap tenaga.
“Inisiatif ini turut menyokong sasaran Proton bagi 2026 untuk mencapai jualan sebanyak 200,000 unit susulan prestasi pada tahun sebelumnya apabila pertumbuhan volum jualan syarikat mengatasi pertumbuhan jumlah industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial