AM

Pertingkat Peluang OKU Penglihatan Dalam Industri Kreatif - Fahmi

29/01/2026 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap supaya peluang bagi penggiat industri kreatif golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk mempamerkan bakat sambil mencari rezeki demi kelangsungan hidup, dipertingkatkan.

Fahmi, yang sebelum itu hadir ke sesi libat urus industri kreatif OKU bersama dengan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB), berkata ramai OKU termasuk yang mempunyai masalah penglihatan memiliki bakat yang boleh diketengahkan. 

Beliau berkata Kementerian Komunikasi akan meneliti potensi besar bakat dalam kalangan OKU penglihatan termasuk dalam bidang muzik, pengacaraan dan penyiaran.

Ad Banner

Antaranya termasuklah menerusi agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merangkumi filem dan animasi serta peluang penyediaan geran, sokongan atau program khusus bagi pemuzik OKU menerusi MyCreative Ventures.

“Saya lihat banyak bakat yang boleh kita manfaatkan … sebagai contoh, pengacara majlis hari ini (Noor Izati Meor Samsudin) menunjukkan keupayaan yang baik, membaca (skrip) menggunakan mesin Braille digital, dan saya ingin menjemput beliau untuk menjadi pembaca berita di TV. Ini membuktikan OKU penglihatan juga mampu menyinar sebagai emsi, pembaca berita dan pemuzik jika diberi peluang. 

“Bagi rakan-rakan pemuzik dalam kalangan OKU penglihatan, saya lihat beberapa sokongan boleh diberikan dalam kementerian ataupun agensi seperti Pentarama Jabatan Penerangan. Dalam kementerian memang ada dasar untuk mengambil pegawai atau petugas OKU,” katanya kepada pemberita selepas sesi itu di MAB, di sini hari ini. 

Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya Datuk Abdul Halim Hamzah esok mengenai peluang yang boleh diberikan kepada golongan tersebut. 

Sementara itu, Fahmi berkata beliau juga akan membawa 34 cadangan dan isu daripada memorandum yang diserahkan MAB hari ini kepada perhatian kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian dan keterangkuman golongan OKU, khususnya OKU penglihatan. 

Perkara itu katanya, termasuklah memudahkan permit atau kebenaran untuk golongan pemuzik OKU penglihatan untuk menjalankan aktiviti persembahan jalanan (busking), karaoke serta nyanyian, dan kemudahan mesra OKU yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), selain permohonan dan pembiayaan dana.

Beliau berkata antara isu utama lain yang dibangkitkan ialah tahap kemesraan aplikasi dan laman web institusi kewangan dan kerajaan terhadap OKU penglihatan, khususnya dalam ekosistem digital negara.

“Terdapat lebih 200 aplikasi kerajaan yang dibangunkan, tetapi persoalannya berapa banyak yang benar-benar mesra OKU penglihatan? Perkara ini akan saya sampaikan kepada Jabatan Digital Negara serta kementerian berkaitan,” katanya. 

Fahmi turut menegaskan isu pengalaman OKU penglihatan dalam penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) bank di negara ini yang tiada audio, sebagai teguran asas dan penting yang terlepas pandang.

“Mungkin perkara itu terlepas pandang selama ini, tetapi bagi komuniti OKU penglihatan, perkara ini memberikan kesan besar. Saya telah memaklumkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia dan akan memanjangkan perkara ini kepada Association of Banks in Malaysia (ABM) serta Association of Islamic Banks Malaysia (AIBIM) untuk pertimbangan lanjut,” katanya.

Beliau juga berharap pihak media turut mengambil langkah yang lebih inklusif, seperti pelaksanaan audio description atau penjelasan menerusi suara dalam berita televisyen ketika memaparkan infografik. 

Dalam pada itu, Fahmi mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada MAB untuk melaksanakan beberapa program sepanjang tahun ini serta menyifatkan interaksi bersama dengan kira-kira 100 komuniti OKU penglihatan sebagai pengalaman yang membuka mata dan hati beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan