EKONOMI

RM9.50 Juta Insentif IPG Disalurkan Kepada 94,677 Pekebun Kecil Getah Sepanjang Jan-Nov 2025

29/01/2026 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Seramai 94,677 pekebun kecil menerima manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan jumlah bayaran sebanyak RM9.50 juta sepanjang tempoh Januari hingga November 2025, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

KPK berkata Pada 2025, IPG telah diaktifkan sebanyak empat kali di Semenanjung Malaysia dan sembilan kali masing-masing di Sabah dan Sarawak.

"Secara kumulatif, sejak pelaksanaannya dari September 2015 hingga 30 Nov 2025, IPG telah memberi manfaat kepada 253,358 pekebun kecil di seluruh negara dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM532.76 juta," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner

KPK berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang jumlah pekebun kecil yang menerima manfaat daripada IPG sepanjang 2025 dan sama ada kerajaan melihat nilai pengaktifan IPG pada kadar RM3 sekilogram (kg) masih relevan.

Berhubung soalan sama ada Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG pada kadar RM3 sekilogram masih relevan, kementerian itu berkata kadar tersebut adalah berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan. 

Menurutnya, PHP IPG telah disemak dan dinaikkan sebanyak lima kali sejak IPG diperkenalkan, dengan kadar semasa RM3 sekilogram berkuat kuasa mulai Januari 2024.

"Bagaimanapun, kementerian sedang menyemak dan menilai penambahbaikan mekanisme pelaksanaan IPG supaya lebih bersifat inklusif dan bersasar.

"Ia termasuk cadangan pengenalan insentif berasaskan produktiviti dan peningkatan kadar IPG bagi pengeluaran lateks, untuk meningkatkan produktiviti, pengeluaran getah negara serta pendapatan pekebun kecil secara mampan," kata KPK.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan