JENAYAH & MAHKAMAH

Penyalahgunaan SIM Box, Kad SIM Ancam Keselamatan Komunikasi - MCMC

31/01/2026 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi untuk tujuan jenayah susulan rampasan peralatan SIM Box dan kad SIM dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kajang baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan dalam operasi itu sebanyak 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad SIM dan kelengkapan berkaitan dirampas untuk siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Menurut MCMC, peralatan berkenaan disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan kegiatan penipuan dan jenayah siber lain, sekali gus mengancam integriti rangkaian komunikasi negara dan keselamatan pengguna.

“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan pengguna.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM untuk mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketat kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital.

MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi serta memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan