Nama Wang Kelian jarang menghiasi dada akhbar, namun pada 2015 perkampungan ini menjadi tumpuan rakyat seluruh negara susulan pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia terbesar yang pernah dilaporkan di negara ini.
Terletak paling utara di sempadan Semenanjung Malaysia-Thailand, Wang Kelian berjiran dengan pekan Satun di selatan Thai dan sememangnya terdedah kepada kegiatan jenayah rentas sempadan. Namun di sebalik semua itu, perkampungan kecil di negeri Perlis ini menyimpan khazanah biodiversiti yang jarang ditemukan di tempat lain.
Dihuni oleh kaum Melayu, Cina dan Siam, perkampungan ini agak jauh di pedalaman serta masih lagi berbentuk pekan tradisional yang belum disentuh arus kemodenan. Lebih-lebih lagi petempatan ini dikelilingi bukit-bukau yang menjadi sebahagian daripada Banjaran Nakawan.
Baru-baru ini, penulis berserta enam lagi wakil media berpeluang berkunjung ke kawasan ini atas jemputan penyedia perkhidmatan insurans Manulife Malaysia dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Roots and Shoots Malaysia serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dalam ekspedisi melihat koridor hidupan liar.
Kunjungan singkat selama tiga hari bermula 19 Jan itu turut membuka mata penulis akan betapa pentingnya kawasan ini dipelihara daripada pemodenan demi memastikan kekayaan alam semula jadinya dapat diwarisi oleh generasi akan datang tanpa cela.
PEKAN KAKI BUKIT, PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH
Menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah pada kira-kira 1 tengah hari dan menempuh perjalanan selama kira-kira dua setengah jam sebelum sampai di pekan Kaki Bukit, Perlis.
Jam menunjukkan hampir 4 petang apabila kami tiba di sebuah pekan yang dihidupkan dengan warna-warni kedai-kedai kayu di sepanjang jalan. Dicat dengan pelbagai warna, kedai-kedai ini yang turut menjadi kediaman bagi sebahagian penduduk, memberikan imej tersendiri pada pekan tradisional ini.
“Selamat datang ke pekan Kaki Bukit,” ucap jurupandu gua dan pemandu pelancong kami yang juga penduduk pekan itu, Tham Ngui Long, lelaki berketurunan Cina berusia 40-an yang menyambut ketibaan kami sebaik van dinaiki berhenti di depan sebuah kedai runcit.
Terletak kira-kira 33 kilometer dari Kangar, pekan Kaki Bukit menyimpan khazanah warisan perlombongan bijih timah yang bermula pada abad ke-19.
“Kebanyakan penduduk di sini mengusahakan kedai runcit, restoran dan kedai baiki kenderaan. Mereka buka kedai seawal 6 pagi dan tutup antara 2 ke 3 petang. Dulu mereka pelombong bijih timah.
“Kita cuma berjumlah dalam lingkungan 1,000 orang dengan kebanyakannya sudah berusia dan juga kanak-kanak, kerana rata-rata anak muda sudah berhijrah ke tempat lain mencari rezeki,” ujarnya yang lebih mesra dipanggil Ah Long.
Sememangnya deretan kedai papan itu kelihatan sepi dengan kebanyakannya hanya membuka pintu kecil bagi mengurangkan bahang di dalam premis.
Pun begitu, pekan ini mempunyai pemandangan memukau dengan landskap berlatarkan bukit-bukau batu kapur, mendorong peminat fotografi mengacu lensa kamera masing-masing dan merakam gambar untuk dijadikan kenangan.
Melihat suasana tenang itu sukar untuk penulis mengaitkan petempatan ini dengan khazanah alam semula jadi termasuk hidupan liar terlindung.
“Sabar, ini hanyalah ‘teaser’, belum lagi kamu sampai di tempat sebenar untuk melihat kemunculan mereka,” kata Ah Long apabila penulis luahkan rasa skeptikal itu.
Selain kaya dengan keindahan flora yang tumbuh meliar serta fauna, Ah Long memberitahu bahawa Banjaran Nakawan yang berusia lebih 480 juta tahun, terbentang dari Kuala Perlis ke Wang Kelian, itu juga menyimpan khazanah alam tidak ternilai, iaitu madu lebah.
Kami dibawa ke sebuah kedai runcit milik penduduk, Tung Chee Yoon, 43, yang turut menjual madu tualang asli, keluaran rangkaian gua berdekatan pekan itu.
“Pelancong yang datang ke Kaki Bukit ini biasanya tidak akan melepaskan peluang untuk membawa pulang madu tualang kami sebagai oleh-oleh kerana keasliannya. Madu kami tidak dicampur dengan gula dan bahan-bahan lain untuk mengekalkan keasliannya,” kata Tung.
Kami kemudian dibawa ke tempat penginapan di sebuah hotel di pekan berkenaan.
HUTAN SIMPAN MATA AYER
Keesokan harinya, pengembaraan kami bermula apabila dibawa ke Hutan Simpan Mata Ayer, Wang Kelian oleh Perlis Nature Xplorer, iaitu sebuah NGO pencinta alam, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis bagi menerokai laluan hidupan liar serta tumbuh-tumbuhan yang ada di sekitar kawasan itu.
Kami menyusuri ladang getah dan kebun buah-buahan milik penduduk sebelum memasuki kawasan hutan simpan itu.
Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata selain terkenal dengan penanaman mangga harumanis, kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand serta berdekatan dengan Banjaran Nakawan, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk penanaman pokok buah-buahan.
“Selain itu, Perlis juga terkenal dengan penghasilan pokok kayu jati yang dijenamakan sebagai ‘Jati of Perlis’ dan diiktiraf menghasilkan kayu berkualiti tinggi serta dieksport ke negara-negara luar seperti India dan China,” katanya.
Menurut Pengasas Perlis Nature Xplorer Syamil Abd Rahman, kawasan di sekitar Wang Kelian, termasuk hutan simpan itu, mempunyai lebih daripada 70 spesies mamalia, 200 spesies burung dan 35 spesies reptilia, termasuk spesies jarang jumpa seperti beruk kentoi yang hanya ada di Wang Kelian.
“Kentoi bermaksud berekor pendek dalam loghat kami di sini, dan nama saintifiknya Macaa arctoidss. Beruk ini mempunyai ciri khas berwajah merah dan bulunya akan mula gugur dengan warna kulit bertukar gelap apabila meningkat usianya.
“Haiwan ini sebenarnya telah dikenal pasti ada di sini pada 1992 oleh ahli ekologi Datuk Dr Dionysius S.K Sharma, namun kami hanya memulakan pemantauan terhadap spesies ini pada 2017.
“Tidak seperti primat lain yang gemar bergayut dari pokok ke pokok, beruk kentoi lebih banyak bergerak di atas tanah secara berkumpulan.
“Jadi di Wang Kelian inilah satu-satunya kawasan di dunia yang mempunyai papan tanda lintasan khusus untuk beruk kentoi,” katanya sambil menambah haiwan itu juga pernah diangkat sebagai maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Menurut Syamil, selain beruk kentoi, Wang Kelian juga adalah habitat beberapa spesies burung enggang.
“Biasanya pengunjung akan dengar bunyi dulu sebelum nampak kelibat unggas ini di langit ataupun di atas pokok. Suaranya lantang dan bunyi sayapnya juga kuat, bergema di seluruh hutan.
“Burung ini juga dikenali sebagai ‘petani hutan’ kerana, apabila mereka makan buah-buahan dan terbang dari satu pokok ke pokok yang lain, ia membantu menyebarkan biji benih ke seluruh hutan, sekali gus membolehkan pokok-pokok baharu tumbuh dengan subur,” katanya.
“NIGHT SAFARI”
Kemuncak ekspedisi kali ini adalah “night safari” yang ditunggu-tunggu oleh penulis serta wakil media lain kerana kami berpeluang melihat hidupan liar yang hanya aktif pada waktu malam. Produk pelancongan ini diusahakan oleh penduduk setempat dengan kerjasama Perlis Nature Xplorer.
Kami dibawa menaiki bugi di atas jalan bertar sebelum memasuki laluan di kawasan hutan. Menurut pengasas bersama Perlis Nature Xplorer, Daniel Azizan, keajaiban sebenar kawasan itu terserlah pada waktu malam kerana haiwan-haiwan liar ini akan mula aktif dan keluar mencari makanan.
Berbanding dengan siang hari, kembara kami pada waktu malam terasa nyaman kerana tiupan angin sepoi-sepoi bahasa mendinginkan tubuh. Hampir tiada kenderaan lain, menambahkan lagi ketenangan “night safari” kami.
Sekali sekala kami berhenti di tepi jalan apabila Syamil memberi isyarat terdapat hidupan liar yang berada di atas pokok.
“Tengok, ada kongkang! Namanya Sunda slow loris iaitu sejenis beruk yang mempunyai mata besar dan bergerak senyap pada waktu malam,” katanya, menghalakan lampu suluh ke arah haiwan itu.
Matanya bulat merenung kami. “Tengok lama sikit macam ‘Hantu Mak Limah’.” Kata-kata itu terdetik di hati penulis ketika merakam video gelagat kongkang tersebut di atas pokok. (Hantu Kak Limah merujuk satu siri filem komedi seram yang mencetuskan fenomena satu ketika dulu.)
Daniel berkata haiwan itu sering diburu manusia kerana nilainya dalam perubatan tradisional, meletakkan spesies primat nokturnal tersebut dalam senarai haiwan terancam.
pic-8
Turut memunculkan diri tupai terbang merah - satu lagi lagi spesies ikonik di Wang Kelian.
Kelihatan seperti kelawar sedang terbang, haiwan ini sebenarnya meluncur di udara, menggunakan membran pada kulitnya dipanggil patagium. Jelas Daniel, membran itu bertindak sebagai “jubah” semula jadi yang mengembang antara anggota badan tupai, membolehkan haiwan kecil ini meluncur dari satu pokok ke satu pokok dengan tepat.
DENAI WARISAN
Usaha melindungi khazanah biodiversiti serta pemerkasaan ekopelancongan di sekitar Wang Kelian giat dijalankan oleh Manulife Malaysia dengan kerjasama Roots and Shoots Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis selama tiga tahun bermula 2024 melibatkan kos yang dikeluarkan sepenuhnya oleh Manulife.
Program ini menumpukan pada pemuliharaan Denai Warisan sepanjang 36 km dan membantu penduduk menjana pendapatan daripada aktiviti ekopelancongan dengan memberikan mereka latihan kemahiran sebagai jurupandu, keusahawanan dan juga literasi kewangan.
Ketua Pendidikan dan Outreach Roots & Shoots Malaysia, Peter Ong berkata penduduk setempat boleh memanfaatkan kekayaan biodiversiti bagi menarik pelawat yang menjadikan perkampungan itu sebagai persinggahan sebelum ke Thailand.
“Sekarang ini rata-rata penduduk adalah warga emas, sementara orang muda pula berhijrah ke tempat lain bagi menaikkan taraf hidup. Malah, tidak ramai anak muda yang sanggup kembali menetap di sini. Jadi, program ini bukan sahaja bertujuan mengangkat dan menyegarkan semula Wang Kelian sebagai destinasi pelancongan tetapi juga untuk mencipta peluang pekerjaan.
“Diharapkan dengan cara ini anak muda akan kembali ke sini dan membangunkan kampung mereka,” katanya.
pic-9
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Manulife Holdings Berhad dan ketua pegawai eksekutif Manulife Insurance Berhad, Vibha Coburn berkata kerjasama itu selari dengan Manulife Impact Agenda yang memfokuskan pada pemerkasaan kesihatan dan kesejahteraan mampan, peluang ekonomi yang inklusif serta kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata pada tahun pertama kerjasama, usaha pemulihan menyeluruh akan dilaksanakan di laluan tersebut dengan matlamat mengubahnya menjadi hab ekopelancongan dan pendidikan alam sekitar.
“Pembiayaan daripada Manulife akan membolehkan kajian biodiversiti, pemulihan laluan serta pewujudan zon khas flora dan fauna, yang disokong oleh papan maklumat pendidikan bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pengunjung.
“Inisiatif ini mencerminkan visi bersama kami untuk memperkasa komuniti setempat sambil memelihara warisan semula jadi,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu juga menjadi tonggak Program Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti mereka yang melibatkan pelanggan, pekerja dan penasihat dalam usaha pemuliharaan, di samping meningkatkan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
“Selain usaha berkaitan alam sekitar, kerjasama ini juga memberi keutamaan kepada pembangunan komuniti,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial