DUNIA

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS, Meningkat Berbanding Mata Wang ASEAN

04/02/2026 07:58 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu tetapi kekal stabil, disokong oleh petunjuk perniagaan yang lebih baik di seluruh Asia, termasuk Malaysia.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 3.9305/9345 berbanding dolar AS daripada 3.9295/9360 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data indeks pengurus pembelian (PMI) menunjukkan bahawa ekonomi Asia, termasuk Malaysia mempamerkan trend positif, menunjukkan sentimen perniagaan yang lebih baik walaupun terdapat ketidaktentuan mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan risiko geopolitik yang meningkat.

Semalam, AS telah menembak jatuh sebuah dron Iran dalam ketegangan di Timur Tengah yang meningkat.

“Penstrukturan semula rantaian bekalan global telah menjadikan firma swasta berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global.

“Keadaan ini mungkin telah menyumbang kepada sentimen perniagaan yang lebih baik seperti yang dapat dilihat daripada data PMI,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound kepada 5.3887/3942 daripada 5.3704/3793 dan menurun berbanding euro kepada 4.6443/6490 daripada 4.6341/6417, bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5091/5118 daripada 2.5210/5253 semasa ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0912/0946 daripada 3.0919/0973, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4206/4391 daripada 12.4584/4845, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 234.2/234.6 daripada 234.5/235.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.67/6.68 sebelum ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan