AM

Lima Strategi Berfokus Perkasa Wilayah Persekutuan - Hannah

05/02/2026 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Lima strategi berfokus bagi tahun 2026 digariskan dalam usaha menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah terbaik untuk didiami, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. 

Beliau berkata strategi pertama akan menumpukan kepada pembinaan ekosistem kehidupan mampan dengan mengukuhkan nilai integriti manakala strategi kedua menyasarkan pemantapan aspek kebersihan bandar secara menyeluruh.

"Strategi ketiga adalah meningkatkan keselamatan rakyat melalui pengurusan mitigasi banjir, disusuli keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat sebagai strategi keempat dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bandar sebagai teras kelima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Istana Negara di sini hari ini. 

Hannah berkata kesemua strategi itu dirangka bagi menyokong pembangunan nasional serta memastikan Wilayah Persekutuan terus menjadi tunjang utama kepada ekonomi MADANI.

Mengenai pembangunan khusus, beliau berkata Kuala Lumpur akan terus diperkasa sebagai wilayah ekonomi makmur manakala Putrajaya kekal sebagai nadi pentadbiran dan Labuan dipacu sebagai hab ekonomi biru serta pelancongan utama di Borneo.

Hannah berkata ketika ini, prestasi semasa ekonomi Wilayah Persekutuan sangat memberangsangkan apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatat 6.2 peratus serta Labuan 5.4 peratus, mengatasi purata nasional 5.1 peratus.

Selain itu, beliau turut menzahirkan ikrar untuk memperkasakan tadbir urus bersih tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa dalam setiap pelaksanaan inisiatif di Wilayah Persekutuan.

Menurut Hannah, hal itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membina ekosistem kehidupan mampan dengan menjadikan nilai integriti sebagai asas kepercayaan rakyat.

"Patik dengan penuh takzim menjunjung kasih atas pandangan dan pedoman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang sentiasa menekankan betapa pentingnya amanah, integriti dan tadbir urus yang bersih dalam pentadbiran negara," katanya.

Hannah dalam sembah ucapan turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Ibrahim melantik beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

"Patik bersama-sama semua warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi di bawahnya berjanji akan memberikan komitmen penuh bagi memperkasakan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 individu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan