AM

SARA Untuk Semua: Bantuan Sekali Beri RM100 Dikreditkan Melalui MyKad Mulai Isnin

05/02/2026 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Program SARA Untuk Semua yang menyediakan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin depan (9 Feb).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata semakan kelayakan boleh dibuat mulai hari ini dengan melayari portal sara.gov.my.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara tanpa perlu membuat sebarang permohonan dan bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima.

“Tiada permohonan diperlukan dan ia akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Dis 2026,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 dan nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui bantuan bersasar tanpa tunai.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan masih menjalankan kajian lanjut berhubung cadangan memasukkan barangan basah sebagai kategori baharu di bawah program SARA bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan jaminan kepada pengguna sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.

Beliau berkata setakat 3 Feb lepas, jumlah rakan niaga SARA meningkat kepada 10,700 kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 pada 2024, dan daripada jumlah itu 3,000 adalah peniaga kecil.

“Kami telah mendengar perutusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menegaskan kami akan melebarkan lagi jaringan SARA dan disasarkan untuk tahun ini peningkatan untuk kedai runcit adalah sehingga 10,000 kedai.

“Ini juga akan mengurangkan liputan, dianggarkan jarak daripada kedai runcit yang terdekat kepada seorang penerima itu akan berkurang daripada 10 kilometer (km) kepada tujuh km,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Zaliha yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan untuk menambah baik syarat dan tempoh kelulusan permohonan sebagai rakan niaga SARA serta memasukkan barangan basah dalam kategori produk di bawah program berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan