EKONOMI

AmBest Jangka Lonjakan Hasil Disokong Permintaan AI, Semikonduktor

06/02/2026 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Syarikat baharu tersenarai di Pasaran ACE, AmBest Group Bhd menjangkakan pertumbuhan hasil yang lebih tinggi disokong permintaan berterusan sektor semikonduktor serta keperluan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Penyedia perkhidmatan pemesinan berketepatan tinggi dan kejuruteraan sokongan itu berkata kumpulan berkenaan terus menerima aliran pesanan daripada pelanggan sedia ada dan baharu, yang sebahagian besarnya dipacu permintaan berfokuskan AI.

“Teknologi hari ini mengalami proses naik taraf. Saya fikir semikonduktor merupakan antara komponen yang sangat penting, manakala AI boleh berkembang merentasi semua sektor.

"Justeru itu, saya percaya permintaan akan terus meningkat,” kata Pengarah Urusan, Tan Beng Beng pada sidang media pasca penyenaraian syarikat itu.

AmBest membuat penampilan pertama di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 29 sen, premium empat sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen, dengan 18.35 juta saham diniagakan.

Sementara itu, Tan berkata AmBest memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor dengan menumpukan kepada komponen pemesinan berketepatan tinggi sejajar peningkatan kerumitan teknologi.

Syarikat itu juga dalam proses meningkatkan keupayaan semikonduktor di peringkat hadapan dan kesiapsiagaan teknikal bagi memenuhi spesifikasi pelanggan yang semakin mencabar, katanya.

Pada masa sama, katanya, kumpulan itu turut berusaha mempelbagaikan penglibatan industrinya dengan mendapatkan pensijilan tambahan, termasuk dalam segmen perubatan dan aeroangkasa, sebagai langkah mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu sektor.

Mengulas mengenai perancangan selepas penyenaraian, Tan berkata kumpulan itu sedang melaksanakan pemasangan mesin baharu di Fasiliti 42A di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Beliau berkata kemudahan itu kini digunakan sebahagiannya sebagai gudang sementara proses pemasangan dan ujian mesin pengeluaran dijalankan bagi persediaan peningkatan skala pembuatan.

Fasiliti tersebut dijangka digunakan sepenuhnya selepas kelulusan diperoleh bagi peluasan lantai pengeluaran, dengan operasi penuh disasarkan menjelang akhir tahun ini, kata Tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan