AM

UPTM Raih Anugerah 'Bestbrand The Brandlaureate'

06/02/2026 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi apabila diiktiraf pada peringkat antarabangsa menerusi 'The BrandLaureate BestBrands Awards 2026' dalam kategori ‘Excellence in Professional & Skills - Focused Higher Education’.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd Radzuan Razali bersama Naib Canselor UPTM Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh sebagai simbol kepimpinan strategik, dan dedikasi universiti dalam memacu kecemerlangan pendidikan profesional serta kemahiran sejajar dengan keperluan industri serta agenda pembangunan modal insan negara.

Sharifah Syahirah dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan UPTM dalam menawarkan pendidikan yang relevan, inklusif dan berorientasikan masa hadapan.

“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan jenama, tetapi pengesahan terhadap pendekatan UPTM yang menekankan penguasaan kemahiran profesional, pembelajaran berasaskan industri dan pembangunan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersedia menghadapi realiti dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata UPTM kekal komited memperkasakan pendidikan berfokus kemahiran melalui kerjasama strategik industri, kurikulum responsif, serta pendekatan pembelajaran yang menyeimbangkan ilmu akademik, kemahiran teknikal dan nilai manusiawi.

Sementara itu, menurut Pejabat Canselori UPTM dalam kenyataan sama, The BrandLaureate BestBrands Awards mengiktiraf jenama yang memimpin dalam strategi, inovasi dan impak industri, dengan penilaian turut merangkumi aspek kepimpinan, kredibiliti dan sumbangan berterusan organisasi kepada komuniti dan sektor industri.

Menerusi tema ‘Your Brand, Your Award, Celebrating, Championing, Commemorating the Best of Your Brand’, pengiktirafan The BrandLaureate 2026 menzahirkan penghormatan kepada institusi dan pemimpin yang membina jenama dengan kejelasan visi, ketahanan serta keyakinan jangka panjang.

“Pencapaian ini mengukuhkan peranan UPTM sebagai antara peneraju pendidikan tinggi berfokus profesional dan kemahiran di Malaysia, selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing pada peringkat global,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan