AM

HRD Corp Gantung Tugas Tiga Anggota Pengurusan Tertinggi

06/02/2026 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

HRD Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan ‘levi tidak digunakan’, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp.

“Perkara itu juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT),” menurut kenyataan itu.

Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz dalam kenyataan sama menegaskan langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus itu selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan yang menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja.

Beliau berkata ia juga bagi memastikan pengurusan HRD Corp menghasilkan impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar dengan semangat MADANI Bekerja.

“HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya.

HRD Corp memaklumkan berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak bersama pulangan berjumlah RM151.8 juta dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, sekali gus membuktikan pemulihan pantas telah dilakukan selain memastikan pelaburan yang dibuat lebih terjamin dan dilindungi.

“Selain itu, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.

“Tempoh ini memberi masa yang cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat  perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik,” menurut kenyataan itu.

HRD Corp turut memaklumkan ketiadaan pemantauan sistematik terhadap program latihan yang diluluskan pada masa ini melemahkan kawalan dan pengawasan tadbir urus, selain terdapat kes latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh dengan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.

“HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan.

“Penambahbaikan ini akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Kesejahteraan, Keadilan Sosial, Keberdayaan dan Ihsan dalam memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat serta industri,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan