SUKAN

TFC Gagal Bawa Bekalan Selesa Ke Kuala Lumpur

07/02/2026 12:03 AM

KUALA NERUS, 6 Feb (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) gagal membawa bekalan selesa ke perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini, malam ini.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang menerusi percubaan separa voli pemain pertahanan import kelahiran Brazil, Careca yang sedikit tersasar seawal minit keempat.

Tersentak dengan percubaan itu, pasukan pelawat yang menguasai permainan cuba melancarkan serangan balas, namun gagal menembusi kubu pertahanan skuad Penyu.

Pada minit ke-16, skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan mengejutkan The City Boys apabila meledak gol pembukaan menerusi penyerang baharu Gervane Kastaneer yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Risto Vidakovic berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-47, namun rembatan Victor Ruiz melambung tinggi melepasi palang.

Bagaimanapun, kekecewaan itu terubat apabila pemain tengah kelahiran Sweden, Nicolao Dumitru menghadiahkan gol penyamaan buat pelawat pada minit ke-84, sekali gus meranapkan kegembiraan lebih 5,500 penyokong tuan rumah.

TFC yang enggan mengalah hampir meraih kemenangan pada masa kecederaan, namun gol Mohamad Baqiuddin Shamsudin dibatalkan pengadil kerana berlaku kekasaran sebelum jaringan dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan