AM

KKDW Perkukuh Pelaksanaan PuTERA35 Menerusi Kerjasama MARA,Teraju - Ahmad Zahid

07/02/2026 04:15 PM

SEREMBAN, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi kerjasama strategik Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi memastikan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan agenda bumiputera tidak hanya digerakkan oleh MARA semata-mata, malah turut melibatkan jabatan dan agensi lain di bawah kementerian.

“MARA bekerjasama dengan Teraju untuk memperkasakan PuTERA35, pelan ini daripada 2025 hingga 2035, kita telah menentukan 132 inisiatif untuk bumiputera dalam bidang ekonomi dan pencapaian setakat 31 Dis lepas berada pada tahap 44.5 peratus.

“Kita mempunyai tempoh sembilan tahun lagi bagi mencapai 100 peratus, sebagai pemantauan, bahagian pemerkasaan agenda bumiputera pada setiap kementerian juga diwujudkan dengan melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya kepada pemberita pada Program 'Road to Ramadan' di Masjid Kariah Pantai, di sini hari ini.

Turut hadir isterinya Datin Seri Hamidah Khamis, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Asna Amin.

Pada program itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan RM18,000 kepada sembilan masjid dan tiga surau (RM3,000) serta sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf di Mukim Pantai.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama MARA dan Teraju bertujuan menyenaraikan syarikat bumiputera yang berpotensi di Bursa Malaysia.

Tiga syarikat telah disenaraikan pada tahun lepas, manakala lima syarikat disasarkan untuk disenaraikan tahun ini.

“Mudah-mudahan jumlah ini akan meningkat menjelang 2035 apabila syarikat-syarikat ini diberikan panduan, galakan, serta kemudahan pinjaman bagi mempertingkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian serta GLIC memberikan penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan inisiatif berimpak tinggi di bawah PuTERA35.

Anwar berkata kementerian dan GLIC juga perlu memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata mesyuarat pertama Majlis Perundingan Ummah dijangka diadakan pada Ramadan melibatkan 11 kluster, yang merangkumi semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, individu, profesional serta para ulama.

Beliau berkata majlis tersebut akan berfungsi sebagai platform mendapatkan maklum balas strategik bagi membimbing kerajaan dalam pelaksanaan agenda Islam dan menangani isu-isu berkaitan ummah termasuk salah tafsir yang berlaku.

Sementara itu, berhubung Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang diarahkan dibatalkan hari ini, Ahmad Zahid menggesa semua pihak perlu menangani perkara tersebut dengan kebijaksanaan dan ada tatasusila.

“Ada kaedah telah diputuskan oleh Kabinet, jika tanah-tanah itu adalah kepunyaan syarikat, individu atau kerajaan negeri, maka kebenaran mesti dipatuhi dan dalam keadaan begitu beberapa garis panduan telah dikoordinasikan untuk pihak berkenaan mematuhinya.

"Ya, kita tahu mereka tidak mematuhi syarat-syarat itu tetapi ada kaedah perundangan dan kebijaksanaan dilakukan, saya harap jangan ada tindakan agresif sehingga menyebabkan masalah lain timbul. Kerajaan sangat prihatin terhadap isu itu dan ada kaedah harus diikuti oleh semua pihak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan