AM

Malaysia, India Teruskan Kerjasama Dalam Penjagaan Kesihatan, Perubatan Tradisional

08/02/2026 03:34 PM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Malaysia dan India hari ini komited untuk meneruskan kerjasama dalam penjagaan kesihatan dan perubatan perubatan tradisional serta meneroka inisiatif kesihatan bersama bagi menangani keperluan perubatan kritikal di seluruh rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi berkata kerjasama itu mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara untuk memajukan penjagaan kesihatan yang mampu dibayar, mudah diakses dan berpaksikan rakyat.

"Malaysia kekal komited bagi sebarang perancangan yang diperlukan untuk membolehkan penghantaran pakar Perubatan Tradisional India (TIM) ke Malaysia di bawah Program Kerjasama Teknikal dan Ekonomi India (ITEC) pada masa hadapan, dan rundingan sedang giat dijalankan dengan India," demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut dijangka dapat memudahkan penyambungan semula perkhidmatan TIM di hospital terpilih Kementerian Kesihatan Malaysia selain melengkapi perubatan alopati bagi menyokong usaha Malaysia melaksanakan model penjagaan kesihatan bersepadu dan holistik.

Kedua-dua pemimpin juga mengetengahkan kerjasama dua hala berterusan dalam penjagaan kesihatan dan perubatan mampu dibayar serta mengalu-alukan perbincangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam pengawalseliaan ubat, pengiktirafan bersama standard farmakopoeia dan perkhidmatan kejururawatan.

"Dalam hal ini, para pemimpin mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Pusat Penyelidikan Homeopati India (CCRH) dan Universiti Cyberjaya pada Oktober 2025, bertujuan  menggalakkan kerjasama penyelidikan, latihan dan pertukaran akademik dalam homeopati," menurut kenyataan bersama itu.

Kerjasama yang dipertingkat ini menyokong hubungan Malaysia-India yang semakin erat dan komitmen bersama untuk memperkukuh daya tahan kesihatan serantau melalui inovasi, penyelidikan serta perkongsian. 

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan India bersetuju untuk memperkemas lagi mobiliti pekerja dan profesional antara kedua-dua negara, mencerminkan hubungan erat antara rakyat yang menyokong hubungan dua hala.

Kedua-dua pemimpin juga komited menjadikan pelancongan sebagai tonggak utama kerjasama dan pemacu utama hubungan erat antara kedua-dua negara.

"India mengalu-alukan kempen Melawat Malaysia 2026, manakala Malaysia menghargai kempen pelancongan 'Incredible India'. Kedua-dua pihak menekankan kepentingan pelancongan yang mampan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan persefahaman bersama," menurut kenyataan bersama itu.

Para pemimpin juga mengalu-alukan lanjutan pengecualian visa yang dapat meningkatkan ketibaan pelancong dan perjalanan perniagaan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua Perdana Menteri juga komited untuk memperkukuh kesalinghubungan udara dalam semangat kepercayaan bersama, manfaat dan kerjasama saling menguntungkan.

"Menyedari pertumbuhan berterusan permintaan penumpang dan kepentingan peningkatan kesalinghubungan untuk pelancongan, perdagangan dan pertukaran rakyat, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penerbangan awam.

"Dalam konteks ini, Malaysia mencadangkan untuk meningkatkan lagi hak trafik udara sedia ada. Pihak India mengambil maklum permintaan tersebut," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga menghargai operasi Kursi Pengajian India Thiruvalluvar di Universiti Malaya (UM) yang berprestij di Kuala Lumpur dan mengalu-alukan penubuhan Pusat Thiruvalluvar di universiti itu.

"Perdana Menteri Anwar juga menyambut baik pengumuman Biasiswa Thiruvalluvar untuk warganegara Malaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan