AM

"Melaka Tourism Passport" Tawar Penjimatan Hingga RM268 Bagi 63 Produk Pelancongan

09/02/2026 11:25 AM

MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Melaka Tourism Passport yang diperkenalkan kerajaan negeri menawarkan penjimatan hingga RM268 melibatkan 63 produk pelancongan di negeri itu, sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad berkata penjimatan itu ditawarkan melalui diskaun hingga 80 peratus, pelbagai pakej pelancongan menarik serta harga istimewa bagi tiket masuk ke destinasi pelancongan yang mengambil bahagian, dengan hanya membeli pasport berkenaan pada harga RM5.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi merancakkan industri pelancongan negeri dan menggalakkan pengunjung tinggal lebih lama di Melaka, sekali gus membantu Melaka mencapai sasaran 19 juta pelancong dan pengunjung tahun ini.

"Produk pelancongan berkenaan melibatkan 35 tempat tarikan pelancongan,15 hotel, resort, chalet serta inap desa, empat restoran dan kafe, empat pusat beli-belah dan lima pakej pelancongan kesihatan.

"Sebagai contoh, pengunjung atau pelancong boleh mendapat diskaun 10 peratus untuk menaiki Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari manakala Bayou Lagoon Water Park, Magic Art 3D Museum dan Cheng Ho Cultural Museum menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Melaka Tourism Passport turut menawarkan pakej Rawat dan Lawat melibatkan empat hospital swasta di negeri itu dalam usaha menarik kedatangan pelancong kesihatan.

Selain manfaat diskaun dan harga istimewa, beliau berkata pasport berkenaan juga boleh dijadikan kenangan kerana pelancong atau pengunjung boleh mendapatkan cop bagi setiap lokasi dilawati.

Nasrul berkata sebanyak 10,000 naskhah Melaka Tourism Passport telah dicetak sejak pelancarannya akhir tahun lepas, dan ia boleh dibeli di kios Tourism Melaka di Banda Hilir dan destinasi pelancongan lain seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka dan beberapa hotel di negeri itu.

Beliau berkata terdapat pemain industri pelancongan seperti hotel dan agensi pelancongan memberikan pasport berkenaan secara percuma kepada pelancong bagi menarik mereka menggunakan khidmat atau kemudahan disediakan.

Sementara itu Nasrul berkata melalui inisiatif berkenaan, kerajaan negeri berharap kadar penginapan pelancong luar di Melaka khususnya dari China dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada tiga hari dua malam.

"Kebanyakan pelancong China datang Melaka secara perjalanan sehari dan ada menginap semalam sahaja. Jadi dengan adanya pasport pelancongan ini, mereka mendapat gambaran bahawa Melaka mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik perlu dilawati.

"Sudah tentunya untuk pergi ke semua destinasi tersebut, sehari memang tidak mencukupi... sekurang-kurangnya tiga hari dua malam, barulah banyak tempat boleh dikunjungi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan