KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 4.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP mencatat peningkatan pada Disember 2025 selepas merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif bulanan untuk dua tahun berturut-turut.
Beliau berkata, perkembangan Disember disokong oleh sektor pembuatan yang berkembang 6.7 peratus berbanding 4.9 peratus pada November 2025, disertai peningkatan 3.7 peratus dalam pengeluaran elektrik (November 2025: 2.7 peratus).
“Bagaimanapun, pengeluaran sektor perlombongan merosot sebanyak 2.5 peratus pada Disember 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP memulih kepada 0.2 peratus daripada negatif 1.1 peratus pada November 2025, katanya.
Mohd Uzir berkata output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 7.5 peratus pada Disember 2025 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Peningkatan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang melonjak sebanyak 13.2 peratus; dan diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan pada 18.1 peratus.
"Pengembangan tahun ke tahun ini mencerminkan prestasi eksport negara yang meningkat 10.4 peratus pada Disember 2025," katanya.
Bagi perbandingan dengan November 2025, industri berorientasikan eksport mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1 peratus selepas merekodkan negatif 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata pengeluaran sektor perlombongan pada Disember 2025 turun sebanyak 2.5 peratus dipengaruhi oleh penyusutuan dalam indeks Gas Asli sebanyak 7.9 peratus (November 2025: 1.0 peratus) manakala, indeks minyak mentah dan kondensat meningkat 6.4 peratus (November 2025: 4.3 peratus).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks perlombongan merosot secara marginal 0.9 peratus berbanding pertumbuhan negatif 3.1 peratus yang direkodkan pada November 2025.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata penjanaan elektrik berkembang 3.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 selepas mencatatkan peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Perbandingan dengan November 2025, indeks elektrik meningkat 2.0 peratus berbanding negatif 3.0 peratus pada bulan lepas.
Bagi prestasi negara lain, IPP bagi beberapa negara meningkat termasuk China (5.2 peratus), Vietnam (11.8 peratus), Thailand (2.5 peratus), Japan (2.6 peratus) dan Taiwan (21.6 peratus), manakala Singapura (8.3 peratus) terus meningkat dengan pertumbuhan marginal pada Disember 2025.
Sebaliknya, Korea Selatan (-0.3 peratus) dan Amerika Syarikat (-0.8 peratus) mengalami penurunan pada bulan ini.
“IPP kekal stabil pada 3.6 peratus pada 2025 berbanding 3.7 peratus pada 2024 dengan semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan (4.5 peratus), indeks perlombongan (0.6 peratus) dan indeks elektrik (0.8 peratus)," kata Mohd Uzir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial