KOTA KINABALU, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah menerusi anak syarikat milik penuh, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor huluan minyak dan gas (O&G) dengan memperoleh kepentingan penyertaan strategik sebanyak 20 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Perolehan Semula Minyak Dipertingkat (EOR) Sabah Utara.
Pengambilalihan itu menyusuli pemeteraian perjanjian “farm-out” (FOA) dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin, sekali gus menandakan pelaburan huluan kedua penting SMJE selepas penyertaan dalam PSC Samarang pada April 2023.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif itu menjadi bukti strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk mengukuhkan tenaga Sabah menerusi pelaburan berkualiti tinggi Sabah serta kerjasama akrab dengan Petronas.
"Menerusi peluang yang kini berkembang di serata negeri dari pantai barat ke timur, kami mengalu-alukan kehadiran pelabur dengan reputasi baik untuk bekerjasama dalam memastikan manfaat mampan serta berterusan untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen pemeteraian itu hari ini.
PCSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hazli Sham Kassim manakala SMJE diwakili oleh Ketua Pegawai Ekekutif Datuk Dr Dionysia Kibat.
Pengambilalihan itu yang berkuatkuasa pada 1 Jan, 2026, juga susulan daripada pemeteraian Perjanjian Induk (HoA) antara SMJE dan PCSB pada November 2025 yang membawa kepada pemuktamadan usaha itu pada hari ini.
Susulan transaksi itu, SMJE akan memegang 20 peratus kepentingan rakan bukan operasi dan SEA Hibiscus Sdn Bhd akan terus berperanan sebagai pengendali dengan 50 peratus kepentingan penyertaan manakala PCSB kekal memegang baki 30 peratus.
Aset PSC EOR Sabah Utara itu merangkumi empat medan minyak yang sedang beroperasi di perairan cetek kira-kira 70 meter di luar pesisir Kota Belud.
Ini merangkumi 20 pelantar luar pesisir yang dihubungkan menerusi saluran paip sepanjang 143 kilometer yang menyalurkan minyak mentah ke Terminal Minyak Mentah Labuan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun merangkap Menteri Kewangan Sabah dan Pengerusi SMJE, menyifatkan aset berkenaan sebagai strategik dan pengambilalihan itu menandakan peranan negeri yang makin matang dalam aktiviti huluan.
“Langkah ini menjamin nilai bagi tempoh jangka panjang, membina keupayaan komersial dan memastikan lebih banyak manfaat disalurkan secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.
Pada masa sama, SMJE juga dapat terus mempercepat penciptaan nilai melalui kerjasama strategik dan penglibatan tempatan, katanya.
Selain itu, majlis pada hari ini turut menyaksikan pertukaran dokumen bagi HoA Kluster Mutiara antara Petronas dan Sabah Energy Corporation (SEC) bagi memudah cara pembangunan kluster berkenaan menjelang suku pertama 2029.
Pertukaran dokumen itu turut merangkumi PSC Kluster Permata antara Petronas dan Bridge Petroleum Limited yang baru dilantik sebagai Kontraktor Pengaturan Petroleum bagi kluster yang terletak di luar pesisir Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial