KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Persatuan Pemandu Van Pelancongan Malaysia berharap pelaksanaan penguatkuasaan terhadap industri itu dapat dilaksanakan secara berhemah dan berdasarkan peraturan semasa bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan kelancaran perkhidmatan.
Persatuan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan ahli mereka beroperasi secara sah dengan lesen kenderaan dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta lesen syarikat pelancongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).
Persatuan itu mendakwa beberapa isu operasi yang timbul dipercayai berpunca daripada perbezaan tafsiran terhadap peruntukan sedia ada, khususnya Akta Industri Pelancongan 1992 yang dilihat memerlukan semakan dan pengemaskinian supaya lebih selaras dengan perkembangan industri pelancongan ketika ini.
Sehubungan itu, persatuan tersebut mengemukakan beberapa cadangan termasuk pengasingan yang lebih jelas antara perkhidmatan pengangkutan atau transit dengan lawatan berpandu disertakan penerangan atau penjelasan pemandu pelancong berlesen bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan semasa industri.
“Pendekatan penguatkuasaan yang jelas dan terselaras dapat membantu pengusaha serta pemandu menjalankan operasi dengan lebih teratur,” menurut kenyataan itu.
Persatuan itu turut mencadangkan dialog berterusan dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan dasar yang dilaksanakan lebih jelas dan kondusif kepada semua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial