KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) -- Prosiding komital terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Prosiding komital itu berkaitan kenyataan yang didakwa dibuat berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir, yang kini sedang berjalan di Mahkamah Koroner.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan memutuskan bahawa memandangkan semakan kehakiman tersebut melibatkan isu sama ada undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri yang terpakai bagi inkues berkenaan, adalah terlalu awal untuk meneruskan prosiding komital sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan.
Beliau berkata walaupun Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman atas kesalahan menghina mahkamah, prosiding komital membawa implikasi penalti sekiranya responden didapati bersalah.
“Sehubungan itu, saya berpendapat prosiding komital wajar ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman tersebut. Bagaimanapun, penangguhan ini hanya terpakai kepada prosiding komital dan tidak melibatkan inkues itu sendiri yang akan diteruskan di Mahkamah Koroner,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menolak bantahan awal pertama yang dibangkitkan oleh responden dengan memutuskan bahawa isu berhubung forum yang memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital hanyalah bersifat teknikal dan tidak menyalahi undang-undang.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan kes.
Pada 21 Nov 2025, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya membatalkan keseluruhan inkues atas alasan ia dijalankan di bawah Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan dan bukannya di bawah Ordinan Inkues 1959.
NGO itu berhujah bahawa undang-undang negeri Sabah yang khusus menyediakan jaminan prosedur dan wajar diguna pakai dalam inkues berkenaan, serta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Ordinan Inkues 1959 sebagai undang-undang terpakai dan mengetepikan prosiding yang sedang berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial