EKONOMI

Eksport Minyak Sawit Malaysia Diunjurkan Cecah Sehingga 16 Juta Tan Pada 2026 - Pakar

11/02/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia diunjurkan mencecah sehingga 16 juta tan pada 2026 didorong oleh paras stok yang rendah, menurut seorang pakar.

Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH (Oil World) Thomas Mielke berkata prestasi eksport negara pada bulan pertama tahun ini memberikan petunjuk yang menggalakkan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

“Pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk tahun penuh dijangka kekal di bawah sedikit paras 20 juta tan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan kertas kerja bertajuk, “World Supply, Demand and Price Outlook of Palm and Lauric Oils, and Impacts from Other Vegetable Oils” di Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2026 di sini.

Mielke berkata peningkatan tahun ke tahun masih berterusan buat masa ini pada suku tahun Januari hingga Mac, memberikan rangsangan kepada pengeluaran di Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima bulan pertama tahun ini.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia berjumlah 16.61 juta tan pada 2025. 

Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 11.44 peratus pada Januari 2026 kepada 1.48 juta tan daripada 1.33 juta tan pada Disember 2025.

Menurut MPOB, dalam laporan prestasi Januari 2026, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) berkurangan 13.78 peratus atau 252,095 tan kepada 1.58 juta tan daripada 1.83 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pada peringkat global, Mielke berkata penguasaan pasaran global untuk minyak sawit diunjurkan berkurangan dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan ia hanya dapat memenuhi 15 hingga 20 peratus daripada pertumbuhan penggunaan minyak dan lemak dunia.

“Penurunan ini mewujudkan situasi yang sukar kepada pengguna di seluruh dunia melainkan mandat biodiesel Indonesia dikurangkan.

“Indonesia mungkin tidak akan dapat meneruskan mandat biodiesel B40 pada 2027 jika pengeluaran berkurangan dan jika jurang harga berbanding minyak gas terus meluas serta eksport minyak sawit merosot,” katanya.

Mielke menjangka pertumbuhan tahunan minyak sawit global akan menguncup sebanyak 1.3 juta tan atau kurang pada 2030 daripada purata pertumbuhan tahunan sebanyak 2.9 juta tan dicatatkan pada 2020, jika pengeluaran Indonesia terus berkurangan pada 2027 dan 2028.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan