Daripada Abdul Hamid A Rahman
MANAMA, 11 Feb (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) sedang memajukan strategi pengembangan globalnya dengan meletakkan Bahrain sebagai hab strategik untuk mengukuhkan kesalinghubungan antara Asia, Timur Tengah, Eropah dan Australia.
Langkah itu susulan pemeteraian surat hasrat (LoI) antara Capital A Bhd dan Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain pada 3 November, 2025 bagi membangunkan Bahrain sebagai hab AAX di Timur Tengah.
AAX berkata hab itu merupakan sebahagian daripada rancangannya yang lebih luas untuk membina rangkaian jarak jauh yang bersambung secara global dengan berpandukan hab strategik di luar Asia Tenggara, memanfaatkan lokasi dan infrastruktur penerbangan Bahrain bagi memudahkan aliran pengembara, perdagangan dan pelancongan yang lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam berkata inisiatif itu mencerminkan transformasi AAX untuk menjadi syarikat penerbangan yang bersambung secara global berikutan pemulihannya daripada pandemik.
“Kami mengharungi salah satu tempoh paling mencabar dalam sejarah penerbangan dan muncul lebih kuat serta lebih fokus. Kami dalam proses pembangunan semula yang berdisiplin, disokong oleh tempahan pesawat sebanyak 374 buah dan pelan pertumbuhan lima tahun yang komprehensif untuk mengukuhkan kehadiran kami di seluruh rantau utama.
“Bahrain amat sesuai dengan pelan tindakan jangka panjang kami untuk menghubungkan ASEAN dan Asia dengan dunia, menumpukan secara berterusan terhadap pengembangan armada pesawat secara berdisiplin, mengukuhkan hab teras dan memacu pertumbuhan sampingan dan digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AAX Tan Sri Tony Fernandes berkata Bahrain akan berfungsi sebagai platform penerbangan berskala yang menghubungkan Asia dengan Timur Tengah dan Eropah, sambil menyokong ekosistem penerbangan kumpulan secara lebih meluas.
Beliau berkata perkongsian itu juga akan membolehkan perniagaan kargo dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Capital A berkembang selari dengan AAX.
“Teleport telah mencatat peristiwa penting dengan ketibaan penerbangan pertamanya di Bahrain susulan pengumpulan modal US$50 juta baru-baru ini, menjadikan negara itu sebagai hab penerbangan dan logistik utama di rantau ini.
“Kami akan terus memperdalam kerjasama dengan lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan industri untuk memanfaatkan potensi koridor permintaan baharu sambil mengekalkan perjalanan jarak jauh yang mampu milik,” katanya.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa berkata kerjasama itu mencerminkan kekuatan Bahrain sebagai rakan kongsi ekonomi dan peranannya sebagai hab ketersambungan serantau dan global.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka mengukuhkan kedudukan Bahrain sebagai pintu masuk yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dalam operasi penerbangan dan sektor sokongan seperti pelancongan, logistik dan hospitaliti.
“Yang lebih penting, ia akan menyokong membangunkan kemahiran dan laluan kerjaya jangka panjang untuk rakyat Bahrain dalam industri global yang terus berkembang dan berubah. Kami berbangga untuk mengalu-alukan AirAsia X,” katanya.
AAX berkata ia akan terus mengembangkan operasi jarak jauh dan ketersambungan hab melalui naik taraf armada pesawat, inisiatif digital dan perkongsian strategik sambil memperkukuh model hab dan rangkaiannya untuk menghubungkan rantau global utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial