JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Ketua Pengarah Agensi Kerajaan Disyaki Seleweng Dana RM900,000

11/02/2026 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan sebuah jabatan agensi kerajaan termasuk seorang ketua pengarah kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira 1 tengah hari tadi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2024.

"Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi," menurut kenyataan itu yang dikongsikan menerusi akaun TikTok rasmi SPRM hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, dua individu terbabit juga didapati mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Jan hingga 4 Feb tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta.

Azam berkata SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan