DUNIA

Malaysia Cadang ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum Diteruskan Di Filipina

15/02/2026 08:13 PM

JAKARTA, Feb 15 (Bernama) -- ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum yang diperkenalkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dicadang diteruskan tahun ini di Filipina. 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN bagi memastikan kesinambungan beberapa program utama yang dilaksanakan Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata penganjuran forum itu merupakan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Leimena, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang aktif menganjurkan program literasi agama dan rentas budaya (CCRL).

“Kita telah mencadangkan kepada pihak Sekretariat ASEAN supaya dialog peradaban ini dikembangkan di Filipina (selaku Pengerusi ASEAN tahun ini).

“Pihak Sekretariat ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk kita kembangkan tetapi tertakluk kepada perbincangan selanjutnya dengan pihak Filipina,” katanya kepada Bernama pada Ahad. 

Sebelum itu, Zamry yang tiba di Jakarta pada Sabtu bagi mengadakan lawatan dua hari di ibu negara Indonesia mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Prof Brian Yuliarto, di sini.

Zambry berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Institut Leimena bagi membincangkan langkah memperluas penganjuran dialog antara peradaban itu supaya dapat melibatkan semua negara anggota ASEAN.

Penganjuran forum itu merupakan satu usaha memperkasakan literasi agama rentas budaya di peringkat serantau. Ia merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan