AM

Fasih Bahasa Thai Mudahkan Komunikasi Cikgu Amran Dengan Murid

16/02/2026 11:45 AM

KUALA NERANG, 16 Feb (Bernama) -- Bagi Amran Salleh, kebolehan bertutur dalam bahasa Thai bukan sekadar kemahiran. Ia merupakan jambatan yang menghubungkan beliau dengan murid dan keluarga mereka, sekali gus memberi nilai tambah kepada seorang pendidik sepertinya.

Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Lamdin berusia 54 tahun itu berkata beliau fasih bertutur bahasa Thai kerana terdedah dengan komuniti Siam di kampung halamannya di Kampung Bendang Raja, Pendang.

“Kawan-kawan saya pun ramai yang bukan Melayu. Sejak sekolah saya sudah terdedah dengan penggunaan bahasa Thai dan saya mula belajar untuk menguasainya.

“Apabila mengajar di sekolah yang majoriti muridnya berketurunan Siam, ia memberi kelebihan kepada saya dan sangat membantu dalam memastikan komunikasi lebih efektif dengan waris pelajar," katanya kepada Bernama.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun di sekolah yang terletak dalam perkampungan masyarakat Siam di sini itu berkata terdapat lebih 100 pelajar etnik Thai dan tidak sampai 10 orang murid Melayu di sekolah berkenaan. 

Amran berkata kebanyakan ahli keluarga murid lebih selesa jika beliau bertutur dalam bahasa ibunda mereka, lebih-lebih lagi apabila membincangkan hal berkaitan prestasi akademik atau masalah disiplin.

“Penggunaan bahasa asing ketika berkomunikasi bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kehebatan sebaliknya sebagai usaha menghormati dan mendekati komuniti secara lebih mesra serta berkesan.

“Kemahiran menguasai bahasa kaum lain juga merupakan satu bentuk sumbangan kecil ke arah semangat Malaysia merdeka yang menekankan kepada konsep memahami, menghormati dan menyantuni perbezaan,” katanya. 

Selain mahir berbahasa Thai, Amran juga mempunyai asas bahasa Cina kerana pernah mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina selama 18 tahun.

Beliau berkata perkara itu memberi impak positif kepada persepsi murid kerana guru dan ibu bapa boleh bekerjasama dengan baik tanpa kekangan bahasa sekali gus membantu merapatkan jurang komunikasi. 

"Mungkin kita melihat perkara ini sebagai biasa sahaja, tapi sebenarnya ia dapat menimbulkan keseronokan dalam bekerja. Kita perlu mencipta atau mencari keseronokan dalam bekerja barulah ia akan memberi kesan yang baik dalam semua aspek," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan