DUNIA

Jerayawara "Prelud Malam Gala TBC 2026" Untuk PBB Diadakan Di New York

16/02/2026 05:36 PM

NEW YORK, 16 Feb (Bernama-CMG) -- Siri jerayawara "Prelud Malam Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, Penyiaran di Peringkat Global" anjuran Kumpulan Media China (CMG) untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah diadakan di sini pada Jumaat lepas.

Acara itu diserikan dengan ucapan video Presiden CMG Shen Haixiong dan Naib Setiausaha Agung PBB bagi Komunikasi Global, Melissa Fleming.

Shen berkata Malam Gala TBC anjuran CMG telah berjaya dilaksanakan selama 43 tahun secara berturut-turut manakala edisi ke-44 untuk tahun ini bertemakan "Galloping Steed, Onward Unstoppable".

Menurut beliau, acara itu akan dijadikan satu temasya kebudayaan dalam suasana ceria dan bahagia serta disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dengan sokongan teknologi inovatif "5G+4K/8K+AI" dan penggunaan 85 bahasa.

Sementara itu, Fleming berkata sambutan TBC 2026 yang menyambut kedatangan Tahun Kuda, membawa harapan baik kerana kuda sinonim dengan kedinamikan, ketabahan dan kemajuan.

Menurut beliau, semangat Tahun Kuda akan membantu dunia meningkatkan keyakinan dan kekuatan dalam memperjuangkan nilai universal demi masa hadapan yang lebih damai, stabil, serta inklusif.

Sempena majlis itu, aktiviti "Masa Depan yang Lebih Baik untuk Umat Manusia" 2026 juga dilancarkan bagi mengumpul karya filem dan drama televisyen kecerdasan buatan (AI) dalam konteks global. 

Kira-kira 300 tetamu hadir ke majlis itu termasuk wakil beberapa negara ke PBB, wakil agensi PBB, tokoh budaya, ekonomi dan media dari China dan Amerika Syarikat (AS).

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan