GEORGE TOWN, 17 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini memberi pengalaman baharu kepada sekumpulan pelancong China apabila berpeluang meraikan perayaan itu dalam suasana berbeza di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.
Meskipun perayaan itu disambut masyarakat Cina di seluruh dunia namun mereka menyifatkan suasana di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri bukan sahaja dari segi budaya tetapi juga makanan.
Seorang pelajar, Kai Yuan, 27, yang kali pertama ke negara ini bersama isteri Zhang Yao, 27, menyifatkan Pulau Pinang sebagai lokasi terbaik untuk mereka menyambut kedatangan Tahun Kuda kerana negeri itu mempunyai ramai komuniti Cina dan suasana sambutan lebih meriah berbanding di negaranya.
Dia turut terharu dengan keramahan penduduk selain teruja menyaksikan tarian singa, sekali gus menjadikan percutiannya di Pulau Mutiara lebih bermakna.
“Jika di China, tidak semua tempat ada tarian singa dan selalunya hanya boleh disaksikan di bandar-bandar besar. Selain itu, saya juga ingin mencuba yee sang,” katanya.
Xue Gang, 44, dari Xiangzhou pula berkata kebiasaannya dia menyambut kedatangan tahun baharu di China dengan hanya makan malam bersama keluarga dan berkunjung ke rumah ibadat, justeru dia agak terkejut dengan cara sambutan di negara ini yang lebih meriah.
Ahli perniagaan itu yang pernah meraikan Tahun Baharu Cina di Thailand turut mengakui sambutan di sini mempunyai kelainan dan keunikan dari segi kebudayaan.
“Di China juga sukar untuk menyaksikan tarian singa kerana biasanya hanya dipersembahkan di bandar besar seperti Shanghai, Guangzhou dan Fujian,” katanya yang melancong ke Pulau Pinang bersama isteri, anak perempuan serta rakan.
Menurut Xue Gang, generasi muda pada masa ini sudah jarang pulang ke kampung halaman dan menjadi trend dalam kalangan mereka menyambut perayaan itu bersama rakan atau membawa keluarga pergi melancong.
“Tahun ini ibu bapa saya pun menyambut kedatangan tahun baharu di lokasi lain tetapi masih di China dan tahun depan mungkin saya akan bawa mereka ke sini (Pulau Pinang),” katanya.
Guru piano Zhao Zhuo, 35, yang juga kali pertama berkunjung ke Malaysia berkata perbezaan paling ketara sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia adalah dari segi juadah dan tarian singa kerana di China mereka lebih biasa dengan tarian naga.
“Di China, kami biasanya makan ‘dumpling’, tetapi di sini hidangannya berbeza termasuk yee sang yang tiada di negara kami,” katanya yang bercuti selama seminggu di Pulau Pinang bersama ibunya Wang Lihui, 64.
Terdahulu, mereka antara 1,000 tetamu yang diraikan dalam sambutan penuh meriah dan tradisi oleh Shangri-La Rasa Sayang dan Shangri-La Golden Sands.
Sambutan dimulakan dengan upacara Mencelikkan Mata Singa (Lion Eye-Dotting) oleh Pengurus Besar Kluster kedua-dua hotel, Jegan Selvarajan sebagai simbol menghidupkan singa dan membawa tuah serta kemakmuran.
Acara diikuti perarakan tarian singa sekitar resort, diiringi ‘Dewa Kekayaan' dan ‘Dewa Ketawa’ dengan kemuncaknya dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa akrobatik, persembahan tukar topeng, tarian naga serta akrobatik tradisional Cina.
Sambutan diakhiri dengan upacara menggaul yee sang sebagai simbolik perpaduan dan kebersamaan sempena Tahun Baharu Cina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial