SUKAN

Zakry Hasrat Lahir Satu Lagi Beregu Wanita Berkelas Dunia

20/02/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Jurulatih baharu badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif meletakkan sasaran untuk melahirkan beregu wanita bertaraf dunia dalam tempoh dua tahun lagi.

Mohd Zakry berkata beliau akan berusaha agar jurang prestasi antara beregu wanita negara dengan gandingan utama dunia Pearly Tan-M Thinaah dapat dirapatkan.

“Apa yang saya lihat, pemain-pemain beregu wanita kita yang ada ketika ini memang ada potensi. Malah ada beberapa gandingan sekarang sedang meningkat naik.

“Jadi saya yakin, dalam satu atau dua tahun ini insya-Allah, kita akan ada satu lagi Pearly-Thinaah,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertamanya bersama skuad kebangsaan hari ini.

Mohd Zakry antara tiga jurulatih yang dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan ini dengan bekas pemain beregu negara itu diberi peranan sebagai jurulatih beregu wanita.

Dalam pada itu, beliau mengakui teruja kembali menyertai BAM selepas 12 tahun, meskipun kini menggalas tanggungjawab dan peranan yang berbeza.

Malah Zakry berkata beliau juga tidak kekok untuk menggalas tugas baharunya memandangkan rata-rata yang berada di barisan kejurulatihan negara merupakan rakan sepasukannya satu ketika dahulu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan