AM

Keselamatan Dalam Talian Tanggungjawab Bersama, Bukan Hanya Melalui Sekatan Media Sosial - Lee Lam Thye

21/02/2026 09:20 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Keselamatan kanak-kanak ketika dalam talian menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, syarikat teknologi, sekolah dan ibu bapa, bukan bergantung semata-mata kepada sekatan akses media sosial kepada remaja 16 tahun dan ke bawah seperti yang dicadangkan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata apabila semua pihak berkenaan bekerjasama, golongan muda dapat memanfaatkan dunia digital tanpa dibebani risiko.

“Sekatan menyeluruh tidak semestinya menjadi penyelesaian paling berkesan atau mampan kerana media sosial apabila digunakan secara bertanggungjawab, boleh menjadi medium penting untuk komunikasi, kreativiti, pembelajaran dan hubungan sosial, terutamanya dalam dunia yang semakin digital.

“Menafikan sepenuhnya akses (kepada Internet) mungkin secara tidak langsung akan mengehadkan pembangunan literasi digital dan mendorong penggunaan secara sembunyi, sekali gus menyukarkan pemantauan serta bimbingan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa persekitaran dalam talian hari ini mengundang risiko kepada golongan bawah umur.

Lee berkata pendedahan kepada kandungan tidak bersesuaian, pemangsa dalam talian, maklumat palsu dan penggunaan skrin terlalu lama boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, pembangunan sosial dan pencapaian akademik. 

“Oleh itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuh langkah perlindungan dan memastikan platform digital dipertanggungjawabkan terhadap keselamatan pengguna, terutama kanak-kanak,” katanya. 

Beliau turut mencadangkan pendekatan yang lebih seimbang dilaksanakan menerusi rangka kerja perlindungan yang menyeluruh berbanding mengenakan sekatan, termasuk penguatkuasaan kod reka bentuk yang bersesuaian dengan umur serta sistem pengesahan usia yang lebih ketat dan berkesan oleh platform digital.

Selain itu, beliau juga menggesa pelaksanaan alat kawalan oleh ibu bapa dan ciri penyeliaan digital secara mandatori; pendidikan literasi digital yang menyeluruh di sekolah; akauntabiliti undang-undang yang lebih jelas terhadap platform yang gagal untuk melindungi golongan bawah umur; dan kempen kesedaran awam bagi mendidik ibu bapa dan penjaga.

“Matlamat akhirnya bukan hanya mengehadkan akses sebaliknya membina generasi muda yang bertanggungjawab secara digital, berdaya tahan dan berpengetahuan .

“Dasar yang digubal perlu dipandu bukan sahaja oleh keperluan mendesak tetapi juga berasaskan bukti, bersifat inklusif serta mengambil kira impak jangka panjang terhadap masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan