AM

Tibi: SOP Bazar Ramadan Di Johor Kekal, Tiada Syarat Tambahan

21/02/2026 10:21 PM

 BATU PAHAT, 21 Feb (Bernama) -- Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi bazar Ramadan di seluruh negeri ini kekal seperti tahun-tahun sebelumnya tanpa sebarang syarat tambahan meskipun terdapat penularan kes penyakit tuberkulosis (tibi).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata setakat ini tiada SOP baharu seperti kewajipan pemakaian pelitup muka terhadap penjual dan pengendali makanan di bazar Ramadan.

“Bagaimanapun penjual dan pengendali makanan di bazar Ramadan setiap daerah diwajibkan mendapatkan suntikan tifoid serta menghadiri kursus pengendalian makanan sebelum dibenarkan berniaga.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar mematuhi SOP sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, di sini, hari ini.

Beliau berkata penguat kuasa JKNJ akan menjalankan pemantauan berterusan di setiap bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan, khususnya berkaitan aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Selain itu, orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan disaran agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Kementerian Kesihatan merekodkan 503 kes tibi di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi kelima 2026 (ME 5/2026), menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,571 dengan Johor merekodkan 233 kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan