DUNIA

OIC Kecam Kenyataan Duta AS Ke Israel

22/02/2026 10:44 AM

JEDDAH, 22 Feb (Bernama-SPA) -- Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan kecaman terhadap kenyataan berbahaya dan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh Duta AS ke Israel, menyifatkannya sebagai seruan yang tidak boleh diterima agar Israel, kuasa pendudukan, meluaskan dan merampas lebih banyak tanah Palestin dan Arab, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Sekretariat Agung OIC menegaskan bahawa kenyataan sedemikian adalah berdasarkan tuntutan sejarah dan ideologi yang palsu serta ditolak, yang melanggar kedaulatan negara, norma diplomatik, prinsip undang-undang antarabangsa, ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Piagam PBB.

Ia juga memberi amaran bahawa wacana ideologi pelampau ini cenderung untuk menyemarakkan ekstremisme dan menggalakkan pendudukan Israel untuk terus melakukan amalan menyalahi undang-undang seperti pengusiran, penempatan, aneksasi, dan percubaan untuk mengenakan kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki - tindakan yang mengancam keselamatan dan kestabilan di seluruh rantau ini.

Selain itu, Sekretariat Agung OIC mengulangi sokongan teguh dan mutlaknya terhadap hak sah rakyat Palestin, terutamanya hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara mereka yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan