KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan didengar di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor pada 9 pagi.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan perkara itu.
Pada 3 Feb lepas, Hisyam berkata permohonan untuk pembebasan penuh anak guamnya telah difailkan pada 28 Jan atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media pada 8 Jan lepas telah memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan membabitkan Ahmad Zahid.
AGC dalam kenyataan media itu memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Pada 12 Jan, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Mohd Dusuki berkata keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara "suka-suka" dan jabatan itu tidak akan memberikan NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial