JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Maut, Dua Cedera Dalam Kemalangan Melibatkan Dua Lori

24/02/2026 10:35 AM

SIBU, 24 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori membawa muatan baja dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki di Kilometer 19 Jalan Kelupu-Julau-Durin awal pagi tadi.

Komander Operasi PBK I Bakar Ujang berkata Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 12.04 tengah malam berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 32 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.

“Ketika sampai di lokasi, pasukan operasi mendapati dua mangsa lelaki yang juga kelindan masih tersepit di dalam kabin lori manakala pemandu berjaya keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan ruang kerja yang sempit dan terhad, memaksa pasukan mendapatkan bantuan sebuah lori bagi mengalihkan kedudukan kenderaan untuk membuka ruang kerja.

Mangsa pertama Maxwell Bernard Empam, 22, berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut manakala mangsa kedua Stanley Ali, 30, disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemandu lori Samuel Numpang, 30, turut mengalami kecederaan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan