AM

Kewangan Operator Air, Impak COVID-19 Punca Sasaran NRW Sukar Dicapai - Fadillah

24/02/2026 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan dan kesan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara faktor utama sasaran kadar air tidak terhasil (NRW) sebanyak 31 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sukar dicapai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif pengurangan NRW perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan pelaburan yang amat besar. 

“Bagaimanapun, kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan berikutan kadar tarif air sedia ada yang masih tidak menggambarkan kos operasi sebenar telah mengehadkan kemampuan operator air untuk melaksanakan program pengurangan NRW sedia ada. Ini menyebabkan kesukaran untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 juga telah menjejaskan pelaksanaan Program NRW yang dirancang, sekali gus menyebabkan sebahagian pelaksanaannya tertangguh dan menjejaskan pencapaian sasaran 31 peratus yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sebab utama sasaran NRW sebanyak 31 peratus pada 2025 gagal dicapai walaupun sebanyak RM2.525 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2025.

Tuan Ibrahim juga ingin tahu langkah pembetulan segera dan konkrit yang diambil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mencapai sasaran 25 peratus NRW menjelang 2030.

Fadillah berkata PETRA melaksanakan penambahbaikan terhadap program sedia ada melalui Program Pengurangan NRW Kebangsaan Fasa 1 dan 2.

Beliau berkata ia merangkumi program penggantian paip kritikal di seluruh negara dan penyelesaian NRW secara holistik di enam negeri, iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, pemberian imbuhan balik kepada operator air juga diteruskan melalui Program NRW Kebangsaan Pendekatan 2 apabila kadar prorata untuk menggalakkan penyertaan operator air di negeri terlibat diperkenalkan.

“Melalui inisiatif yang dilaksanakan, diharapkan sasaran NRW 28.8 peratus dapat dicapai menjelang 2030,” katanya.

Fadillah berkata pelarasan tarif air tempoh pelaksanaan kedua (Mekanisme Penetapan Tarif - TSM 2) bermula 1 Ogos 2025 juga membantu meningkatkan aliran tunai kepada operator air bagi tujuan kos operasi dan pengurangan NRW.

“Oleh itu, operator air perlu memainkan peranan dalam usaha mengurangkan NRW ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan