AM

Kerajaan Terus Utamakan Aspek Kebajikan Warga ATM - PM

24/02/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus meletakkan aspek kebajikan pegawai, anggota dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai keutamaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata ia termasuk isu perumahan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga anggota.

Anwar berkata perkara itu ditegaskan beliau semasa mesyuarat bersama dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM di Wisma Perwira di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, beliau juga diberikan taklimat berhubung beberapa keputusan strategik yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.

“Perbincangan ini amat mustahak bagi memastikan kesiapsiagaan serta keupayaan ATM terus diperkasa dalam mendepani cabaran dan ancaman geostrategik yang semakin kompleks.

“ATM kekal sebagai benteng utama pertahanan negara dan simbol kedaulatan yang wajib dipelihara,” katanya.

Mesyuarat kira-kira sejam itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

Usai mesyuarat itu, Perdana Menteri menghadiri majlis tazkirah di Masjid Khalid Bin Al-Walid bersempena dengan program Ihya Ramadan dan menunaikan solat zuhur bersama warga Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan