AM

Peniaga OKU Bangkit Selepas Kemalangan Jalan Raya, Jual Cendol Harga ‘Rahmah’

27/02/2026 10:40 AM

MERSING, 27 Feb (Bernama) -- Selepas hampir dua tahun ‘berkurung’ akibat kemalangan jalan raya yang mengubah seluruh kehidupannya, seorang lelaki bertekad untuk bangkit dengan memulakan perniagaan cendol yang kini menjadi sumber rezekinya.

Zulhairie Muda, 37, berkata kemalangan motosikal pada 2010 itu menyebabkan urat saraf tangan kanannya putus, sekali gus terpaksa melalui fasa sukar menerima kenyataan pahit berkenaan apabila hanya bergantung pada sebelah tangan untuk melakukan kerja.

“… daripada normal tiba-tiba menjadi Orang Kurang Upaya (OKU), memang rasa malu nak berhadapan dengan orang ramai dan saya ambil masa nak terima keadaan tu.

“… tetapi apabila difikirkan sampai bila nak macam ni? Oleh itu, saya bertekad kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan dan memulakan perniagaan sejak tujuh tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di Bazar Ramadan Rahmah Taman Wawasan di sini.

Zulhairie berkata bantuan bulanan sebanyak RM450 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantunya mengembangkan perniagaan cendol, yang pada awalnya hanya dua balang dengan hasil jualan RM15 sehari.

Zulhairie berkata berniaga di bazar itu antara lain menjadi platform memperkenalkan lokasi perniagaannya di Kampung Seri Lalang, yang diusahakan bersama isteri Nurul Effi Azira Mohd Saleh dengan dibantu seorang pekerja.

Kerja keras itu membolehkannya kini menjual kira-kira 25 balang cendol sehari, menggunakan santan berasaskan kelapa sawit yang diyakini tahan lama, bebas kolesterol, rendah lemak dan kaya dengan vitamin.

“Selain itu, satu kilogram santan sawit bersamaan tiga kilogram santan kelapa biasa, memang sejak awal perniagaan saya menggunakan santan ini,” katanya, yang menjual pelbagai jenis cendol seperti pulut, durian, kacang dan mangga.

Zulhairie berkata cabaran utama ialah kenaikan harga bahan mentah, terutama gula merah dan santan yang meningkat sekitar RM10.50 kepada RM15 tahun ini, sekali gus memberi tekanan kepada kos operasi harian.

Beliau bagaimanapun tetap mengekalkan harga ‘rahmah’, iaitu RM5 sebungkus bagi cendol biasa berbanding harga pasaran sekitar RM7, walaupun margin keuntungan semakin mengecil.

“Ini bagi membolehkan semua golongan mampu menikmati cendol dan sambutan diterima setakat ini sangat menggalakkan,” katanya, yang menyediakan kemudahan pembayaran digital melalui kod respon pantas (QR) bagi memudahkan transaksi tanpa tunai.

Zulhairie berkata pengalaman bermula dari bawah mengajarnya erti ketabahan dan beliau berhasrat membuka kedai tetap serta memiliki cawangan sendiri pada masa hadapan, selain berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada golongan OKU agar tidak mudah berputus asa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan