AM

Malaysia Minta Pakistan-Afghanistan Bersabar Susulan Peningkatan Ketegangan

27/02/2026 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta Pakistan dan Afghanistan supaya bersabar serta segera menghentikan semua operasi ketenteraan susulan peningkatan ketegangan yang berlaku kebelakangan ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Malaysia memandang serius operasi ketenteraan rentas sempadan dan pengisytiharan konflik terbuka antara kedua-dua negara jiran Islam itu.

Anwar berkata kehilangan nyawa di kedua-dua pihak adalah sesuatu yang amat menyedihkan, dan keganasan yang berlaku sepanjang bulan Ramadan menjadikan situasi itu lebih memilukan.

“Isu keselamatan yang sah bagi Pakistan harus ditangani. Pada masa yang sama, isu kedaulatan dan integriti wilayah Afghanistan juga perlu dihormati.

“Kedua-dua perkara ini tidak bercanggah. Ia hanya boleh diselesaikan melalui meja rundingan,” katanya sambil menyuarakan harapan agar orang awam yang terperangkap dalam konflik itu berada dalam keadaan selamat, dan pemimpin kedua-dua pihak membuat pilihan bijak dengan memilih keamanan.

Tentera Pakistan telah melancarkan serangan udara pada awal pagi Jumaat di beberapa kawasan di Afghanistan termasuk ibu negara Kabul serta wilayah Kahar dan Paktia, lapor Agensi Anadolu yang memetik jurucakap Kerajaan Afghanistan dan sumber tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan