EKONOMI

KWSP Umum Dividen 6.15 Peratus Untuk Simpanan Konvensional Dan Shariah, Jumlah Pembayaran RM79.6 Bilion

28/02/2026 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 (2024: 6.3 peratus) untuk akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus daripada RM75.5 bilion pada 2024. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata aset pelaburan meningkat kepada RM1.41 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion didorong oleh pendapatan portfolio dan jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.

“Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Jumlah ini mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024 manakala pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan. Pelaburan Ekuiti Persendirian, yang merangkumi kira-kira 8 peratus daripada pelaburan ekuiti mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus,” katanya semasa mengumumkan kadar dividen KWSP 2025 hari ini.

Bagi instrumen pendapatan tetap yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, katanya ia menyumbang sebanyak RM26.3 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, dengan ROI sebanyak 4.3 peratus.

“Seiring penurunan kadar hasil sepanjang tahun, pengurus dana berupaya merealisasikan keuntungan modal secara berhemah di samping mengambil langkah teliti bagi memastikan hasil portfolio kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menjana pulangan masa depan,” katanya.

Beliau berkata hartanah dan infrastruktur menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion dengan ROI sebanyak 4.8 peratus berdasarkan mata wang tetap manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM0.6 bilion dengan ROI sebanyak 1.6 peratus.

“Memandangkan sebahagian besar pelaburan ini didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, prestasinya turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran asing apabila ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM79.2 bilion. 

Ahmad Zulqarnain berkata selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing.

Katanya pendapatan pelaburan bagi simpanan konvensional dan shariah, masing-masing berjumlah RM66.2 bilion dan RM13.0 bilion.

Ahmad Zulqarnain berkata ekuiti merangkumi 46.1 peratus daripada jumlah aset manakala instrumen pendapatan tetap merangkumi 44.7 peratus.

Katanya hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang, masing-masing mewakili 6.0 peratus dan 3.2 peratus.

“Pelaburan domestik terus menjana pendapatan yang stabil. Daripada jumlah aset sebanyak RM1.41 bilion setakat Disember 2025, sebanyak 61.7 peratus dilaburkan dalam pasaran domestik, menjana RM39.3 bilion atau 49.6 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Pelaburan global yang merangkumi 38.3 peratus daripada portfolio, menjana pendapatan sebanyak RM39.9 bilion bersamaan 50.4 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan