DUNIA

Wisma Putra Beri Bantuan Konsular Kepada Rakyat Malaysia Di Timur Tengah

01/03/2026 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kementerian Luar Malaysia melalui perwakilan diplomatiknya di Timur Tengah, telah memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terperangkap di beberapa negara akibat pembatalan penerbangan berikutan perkembangan semasa di rantau itu.

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata semua individu yang dihubungi dilaporkan selamat dan dikenal pasti.

“Pada masa kemas kini ini, Perwakilan kami sedang memberikan bantuan atau berkomunikasi dengan rakyat Malaysia yang terperangkap, antara lain di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu,” menurut nasihat yang dikeluarkan pada Ahad.

Wisma Putra menasihati semua pelancong Malaysia supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan terkini dan penyesuaian laluan akibat situasi semasa yang sangat tidak menentu di lapangan, termasuk gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara secara tiba-tiba.

“Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya sedang giat menyelaraskan usaha-usaha konsular,” katanya.

Wisma Putra juga menasihati semua rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke rantau itu dalam masa terdekat dan mendaftar keberadaan mereka dengan segera melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my untuk memudahkan komunikasi dan bantuan.

Kementerian itu turut menggesa rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, berlindung di tempat yang selamat jika dinasihatkan, dan sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk kemas kini tempatan semasa.

“Kementerian menasihati semua rakyat Malaysia supaya kekal tenang, mengelak daripada menyebarkan khabar angin yang tidak disahkan, dan bergantung sepenuhnya kepada sumber berita rasmi dan saluran rasmi Kementerian untuk maklumat yang tepat,” tambahnya.

Bagi bantuan kecemasan konsular, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia boleh terus menghubungi Bilik Operasi Kementerian di +603-8887 4570 atau melalui emel di dutyofficer@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan