JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran PPR: Mangsa Dipercayai ditinggalkan Tanpa Pengawasan Orang Dewasa - Polis

02/03/2026 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Polis mendedahkan bahawa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, petang tadi dipercayai ditinggalkan bersama lima lagi adik-beradiknya tanpa pengawasan orang dewasa.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata hasil siasatan awal mendapati dalam kejadian pada 3.40 petang itu, kesemua enam beradik yang berumur antara sembilan bulan hingga 10 tahun itu berada di rumah ketika ibu mereka dipercayai keluar membeli makanan.

"Jiran yang menyedari kebakaran itu segera bertindak menyelamatkan mangsa, namun gagal menyelamatkan si mati kerana mangsa terperangkap di dalam bilik tidur utama yang telah terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan mayat kanak-kanak malang itu ditemukan rentung selepas kerja-kerja pemadaman dilakukan di tingkat 10 blok perumahan berkenaan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka serta tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian bagi mengelakkan sebarang tragedi tidak diingini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan