PEKAN, 2 Mac (Bernama) -- Sebanyak 85 peratus pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengakui berlaku perubahan positif dalam diri mereka selepas menamatkan latihan, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, majoriti pelatih mengakui mereka kini lebih matang serta memahami bahawa kehidupan di Malaysia memerlukan kerjasama erat antara kaum.
“Mereka berpeluang bergaul dengan rakan daripada pelbagai latar belakang, makan bersama, tidur bersama, berlatih dan menempuh cabaran secara berkumpulan. Pengalaman itu membentuk persefahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), di sini hari ini.
Pada majlis itu, 556 pelatih lelaki berjaya menamatkan latihan selama 45 hari bermula 17 Jan lepas, sekali gus diiktiraf sebagai Angkatan Khidmat Negara.
Abdul Aziz berkata perubahan itu dapat dilihat sepanjang tempoh latihan apabila pelatih yang sebelum ini kurang bersemangat kini menunjukkan sikap lebih berdisiplin, berkeyakinan dan peka terhadap persekitaran.
“Impak positif berkenaan membuktikan modul latihan yang dilaksanakan mampu menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata individu yang tersenarai untuk mengikuti program itu perlu memastikan mereka memberi maklum balas terhadap panggilan dan arahan.
“Pada peringkat awal terdapat ibu bapa yang berasa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka, namun selepas melihat perubahan sikap seperti lebih menghormati ibu bapa, lebih bertanggungjawab dan berdisiplin, mereka mengakui keberkesanan program ini,” katanya.
Dari segi kesihatan, Abdul Aziz berkata pelatih diingatkan supaya mengisytiharkan status kesihatan sebenar sebelum menyertai latihan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial