EKONOMI

PMI Pembuatan ASEAN Cecah Paras Tertinggi 53.8 Pada Februari, Dipacu Lonjakan Pesanan, Pengeluaran

03/03/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ASEAN mencatat paras 53.8, pada Februari 2026, iaitu tertinggi dalam sejarah, meningkat daripada 52.8 pada Januari 2026, didorong oleh peningkatan pesanan baharu serta kenaikan pengeluaran yang menghampiri rekod, kata S&P Global.

Penyedia maklumat ekonomi itu berkata data terbaharu itu bukan sahaja menandakan peningkatan kukuh dalam kesihatan sektor pembuatan ASEAN, malah merupakan peningkatan paling ketara dalam sejarah siri tersebut.

“Data Februari menunjukkan peningkatan lanjut dalam pesanan kilang yang diterima oleh pengeluar ASEAN, sekali gus melanjutkan tempoh pengembangan semasa kepada tujuh bulan, manakala pesanan eksport baharu meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan.

“Indeks itu kini mencatat bacaan positif bagi lapan bulan berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Maryam Baluch berkata lonjakan ketara dan dipercepat dalam pesanan baharu yang terpantas dalam sejarah membolehkan firma meningkatkan pengeluaran pada kadar yang sama pantas.

“Meskipun firma pada masa yang sama meningkatkan aktiviti pembelian dan pengambilan pekerja bagi memenuhi keperluan pengeluaran, peningkatan kukuh dalam tunggakan pesanan memberi petunjuk masih terdapat ruang untuk pengembangan selanjutnya.

“Selain itu, syarikat kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan pengeluaran apabila indeks terus berada dalam wilayah pengembangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan