AM

KKM Tubuh 33 Unit Dialisis Komuniti, 28 Telah Beroperasi - Dzulkefly

03/03/2026 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan 33 Unit Dialisis Komuniti (UDK) di seluruh negara, dengan 28 daripadanya telah beroperasi dan lima lagi dalam masa terdekat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata UDK yang ditempatkan di klinik kesihatan luar bandar itu bertujuan memudahkan pesakit menjalani rawatan tanpa perlu berulang-alik ke bandar, sekali gus mengurangkan beban kos pengangkutan.

“Bagi perkhidmatan rawatan dialisis terutamanya di luar bandar, KKM telah memperkenalkan UDK yang disediakan oleh KKM sendiri di klinik kesihatan. Ini memberikan perkhidmatan dialisis kepada penduduk luar bandar dengan lebih mudah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini

Dzulkefly menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai langkah proaktif kementerian bagi membendung peningkatan kos rawatan dialisis melalui penambahan pusat satelit dialisis di daerah kecil.

Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengendalikan pusat dialisis dan membantu mengurangkan beban pesakit, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata perubahan dasar rawatan dialisis daripada kebergantungan kepada hemodialisis kepada pendekatan Peritoneal Dialysis (PD), termasuk Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) antara perkembangan baharu dalam sistem rawatan itu. 

Selain itu, Dzulkefly memaklumkan Pelan Tindakan Nasional Buah Pinggang Sihat 2026-2030 akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan penyakit buah pinggang kronik (CKD) secara menyeluruh.

Menjawab soalan asal Abdul Khalib berkaitan statistik terkini penyakit tidak berjangkit atau Noncommunicable Diseases (NCD), beliau berkata penyakit itu kekal sebagai penyumbang utama kematian di negara ini iaitu 73 peratus atau kira-kira 140,000 kematian setahun berpunca daripada penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti.

Dzulkefly berkata angka itu jauh lebih tinggi berbanding kematian akibat COVID-19 yang merekodkan 37,000 kes dalam tempoh dua tahun, sekali gus menggambarkan NCD sebagai “pandemik senyap” yang bersifat sepanjang hayat.

“Berbeza dengan pandemik berjangkit seperti COVID-19 yang bersifat episodik dan akut, NCD ini akan bersama pesakit sepanjang hayat hingga membawa kepada komplikasi serius termasuk kegagalan buah pinggang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan