AM

Kerajaan Tegas Tiada Kompromi Penghinaan Terhadap Al-Quran

03/03/2026 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya melibatkan kitab suci al-Quran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata kerajaan memandang serius penyebaran fitnah yang berniat jahat, tohmahan serta rujukan palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini secara jelas bertujuan memburukkan usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampuradukkan isu-isu yang berbeza.

“Berkenaan isu penodaan al-Quran melibatkan seorang mahasiswa, Kerajaan MADANI ingin sekali lagi menegaskan bahawa individu berkenaan telah ditahan oleh pihak polis pada 25 Feb, sehari selepas kejadian diketahui umum, tindakan serta-merta telah diambil dan individu tersebut juga telah didakwa di mahkamah hari ini,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Tunku Nashrul berkata negara ini ditadbir berlandaskan undang-undang seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keadilan hakiki menuntut proses perundangan yang telus, bukannya penghukuman tanpa usul periksa.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya merujuk sumber sahih sebelum menyebarkan maklumat, tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan dakwaan tidak berasas serta memberikan ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil.

“Jangan memperalatkan kesucian agama bagi kepentingan politik kepartian,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Kerajaan MADANI mendoakan agar ibadah puasa umat Islam diterima dan dipermudah, selain terus komited memastikan kemakmuran negara dapat dipertingkatkan secara berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan