DUNIA

Ringgit Ditutup Rendah Berikutan Sentimen Elak Risiko Dorong Kenaikan Dolar AS

03/03/2026 07:25 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila sentimen elak risiko mengukuhkan dolar manakala pelabur kekal berhati-hati berikutan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 3.9440/9495 berbanding dolar AS daripada 3.9225/9295 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan kekal terarah kepada konflik yang sedang berlarutan di Timur Tengah melibatkan Iran, Israel dan AS.

Beliau berkata keputusan Qatar untuk menghentikan eksport gas asli cecair (LNG) telah menyebabkan harga gas asli di Eropah melonjak sebanyak 20 peratus dalam tempoh sehari.

Dalam perkembangan sama, minyak mentah Brent kini berlegar pada paras US$82.48 setong selepas dua dron dilaporkan menyerang Kedutaan AS di Riyadh, Arab Saudi.

“Secara asasnya, sentimen elak risiko tertumpu kepada industri minyak dan gas, apabila gangguan bekalan menjadi risiko utama bagi ekonomi global. Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.45 peratus kepada 98.822 mata,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5778/5842 daripada 4.6031/6113 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.2451/2524 daripada 5.2460/2553.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5010/5048 daripada 2.4984/5032.

Pada masa sama, ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0863/0909 daripada 3.0854/0912 ketika ditutup pada Isnin, dan kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 233.7/234.2 daripada 232.5/233.0.

Ringgi rendah berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.74/6.76 ketika ditutup semalam dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4401/4637 daripada 12.4682/4980.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan