JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 550 Tan Produk Sejuk Beku Dirampas Di Donggongon

04/03/2026 09:25 AM

PENAMPANG, 4 Mac (Bernama) -- Lebih 550 tan produk ayam dan daging sejuk beku dirampas dalam serbuan Ops Bersepadu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama beberapa agensi berkaitan di Donggongon di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata operasi bermula 10 pagi di Kampung Nambazan itu dilaksanakan susulan keraguan terhadap status serta dokumentasi produk berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan mendapati sebahagian produk yang dijumpai telah melepasi tarikh luput.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut membuat pengesahan terdapat keraguan terhadap dokumen dikemukakan kerana wujud ketidakpatuhan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dan peraturan veterinar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan hasil maklumat serta perkongsian risikan antara agensi yang terlibat bagi memastikan keselamatan makanan dan kepentingan pengguna terus terpelihara.

"Serbuan dilakukan ke atas sebuah premis yang disyaki menjadi hab penyimpanan produk tersebut. Hasil serbuan telah membongkar jumlah kuantiti bahan mentah sejuk beku yang sangat besar disimpan di premis itu," katanya.

Seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan dan operasi itu turut merampas sebuah fasiliti penyimpanan sejuk beku, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM14,560,149.15.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Veterinar 2015 dan Akta Makanan 1983. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan