EKONOMI

Malaysia Catat Pelaburan Diluluskan Tertinggi Dalam Sejarah RM426.7 Bilion Pada 2025 - PM Anwar

06/03/2026 10:19 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara apabila jumlahnya mencecah RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2024, pelaburan yang diluluskan berjumlah RM384.4 bilion.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak 8,390 projek telah diluluskan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara,” kata Anwar dalam laman media sosial beliau hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia.

Anwar berkata pencapaian ini adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan, malah direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kemakmuran rakyat.

“Pencapaian berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan.

“Usaha akan terus diperkukuh bagi memastikan seluruh rakyat merasai manfaat daripada pencapaian tersebut,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan