EKONOMI

Golden Destinations Meterai Perjanjian Taja Jamin Untuk IPO Menjelang Penyenaraian Pasaran ACE

06/03/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Golden Destinations Group Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd (UOBKH) untuk tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Penyedia perkhidmatan penuh pengalaman pelancongan luar negara itu berkata IPO berkenaan melibatkan isu awam sebanyak 200 juta saham baharu (saham terbitan) dan tawaran jualan sebanyak 100 juta saham sedia ada (saham tawaran).

Daripada saham IPO tersebut, sebanyak 50 juta saham diperuntukkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia apabila 25 juta saham terbitan disediakan untuk pelabur bumiputera melalui undian.

“Sebanyak 35 juta saham IPO lagi diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan yang layak dalam kumpulan serta individu yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kumpulan.

"Manakala 90 juta saham IPO diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada institusi yang dikenal pasti dan/atau pelabur terpilih," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 25 juta saham IPO diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tawaran jualan terdiri daripada 100 juta saham tawaran yang diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh MITI.

“Sehubungan dengan perjanjian taja jamin tersebut, UOBKH akan menaja jamin 85 juta saham terbitan syarikat,” katanya.

Pengarah Urusan Golden Destinations Mita Lim berkata pemeteraian perjanjian taja jamin ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat kumpulan kerana ia semakin hampir menuju penyenaraian di Pasaran ACE.

"IPO ini untuk memperkukuh pengembangan perniagaan apabila kami mempertingkat keupayaan untuk mengembangkan operasi, memperluaskan tawaran produk, memperkukuh penjenamaan kami dan memperluaskan kehadiran pasaran dalam industri. 

"Kami akan terus menyediakan pakej pengalaman pelancongan luar negara yang dipilih melalui rangkaian pengedaran yang mantap," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan