POLITIK

Rumah Bangsa Dapat Sambutan, Perlu Buat Permohonan Rasmi - Ahmad Zahid

07/03/2026 07:49 PM

BAGAN DATUK, 7 Mac (Bernama) -- Permohonan untuk menyertai Rumah Bangsa menerima sambutan amat menggalakkan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata permohonan untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu perlu dibuat secara rasmi bagi mengelak masalah pada masa depan. 

"Sangat-sangat menggalakkan, sangat-sangat baik bersempena dengan bulan Ramadan ini, saya fikir UMNO akan subur kerana saudara baharu telah timbul dalam kalangan mereka yang ingin menyertai semula (UMNO)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media tentang sambutan permohonan menyertai Rumah Bangsa ketika ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Al-Mubarak 1447H 2026M Parlimen Bagan Datuk di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata UMNO membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu di bawah inisiatif "Rumah Bangsa" yang juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO.

Ditanya mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk menyertai UMNO semula, Ahmad Zahid berkata bekas menteri kesihatan itu telah beberapa kali bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat tersebut dan UMNO tiada masalah untuk menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali tanpa sebarang syarat. 

Sementara itu, di SELANGOR, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata UMNO berpotensi kembali menyinar dalam landskap politik negara sekiranya parti-parti Melayu utama dapat disatukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sejajar dengan seruan Ahmad Zahid, semalam.

“Apabila Presiden UMNO membuka pintu kepada semua ahli yang pernah meninggalkan parti serta mengundang seluruh orang Melayu untuk kembali bernaung di bawah Rumah Bangsa ini tanpa syarat, bagi saya ini satu perkara yang cukup dinantikan oleh masyarakat Melayu di negara ini,” katanya dalam sidang media Program Sinar Ramadan 2026 di Masjid Ma'muniah, Simpang Lima, di Sungai Besar, hari ini.

Mohd Razlan berkata masyarakat Melayu perlu mengambil iktibar daripada pengalaman di beberapa negara lain yang menyaksikan kuasa politik bangsa peribumi semakin terhakis akibat perpecahan sama ada singkat mahupun panjang.

Terdahulu, Mohd Razlan diiringi Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) Dr Norli @ Norlaili Alias dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin menyerahkan 500 naskah al-Quran baharu kepada 40 masjid dan surau di seluruh Sabak Bernam.

Acara dengan pengisian penukaran al-Quran lama kepada baharu itu diadakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menghargai dan memelihara mushaf al-Quran selain mempromosikan budaya membaca kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan