AM

Sekolah Rendah, Klinik Kesihatan Antara Projek Infrastruktur Baharu Di Lembah Pantai - Fahmi

08/03/2026 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kawasan Lembah Pantai bakal menerima pembangunan infrastruktur baharu termasuk pembinaan sebuah klinik kesihatan dan sekolah rendah bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata klinik kesihatan baharu berkenaan dijangka menelan belanja RM60 juta dan dirancang dibina di kawasan Pantai Central Park bagi meningkatkan kemudahan kesihatan untuk penduduk setempat.

“Tahap dan jenis perkhidmatan yang disediakan klinik berkenaan juga pada skala yang lebih besar dan lebih tinggi berbanding Klinik Kesihatan Tangling,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Ar-Rahah, Bangsar South, di sini, hari ini.

Program tadarus dan khatam Al-Quran tahunan itu disertai kira-kira 800 peserta wanita, anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Inspirasi Anggun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Pertubuhan Kebajikan Dinamika Rakyat WPKL dan Muafakat Muslimat JBAQ LP.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pembinaan klinik berkenaan amat dinantikan penduduk setempat kerana lokasi yang berdekatan berbanding Klinik Kesihatan Tangling.

Mengenai infrastruktur pendidikan, Fahmi memaklumkan sebuah sekolah rendah baharu akan dibina di tapak  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai bagi mengatasi masalah kepadatan murid di sekolah sedia ada.

“Di tapak lama SMK Seri Pantai, akan dibangunkan sebuah sekolah rendah baru, Sekolah Kebangsaan Seri Pantai, yang insya-Allah dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan mampu mengurangkan kesesakan di sekurang-kurangnya dua sekolah rendah di kawasan Lembah Pantai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang meneliti cadangan pembangunan semula Bazaria Pantai bagi memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Fahmi berkata perancangan itu perlu diperhalusi memandangkan terdapat cadangan pembinaan jajaran jajaran tren Transit Aliran Massa (MRT) 3 yang akan dibina berdekatan lokasi berkenaan.

“Dua pilihan reka bentuk sedang dipertimbangkan termasuk konsep bertingkat yang menggabungkan elemen Pusat Transformasi Bandar (UTC), parkir bertingkat serta ruang gerai yang lebih luas dan selesa.

“Belum ada kata putus reka bentuk mana, ia melibatkan perbincangan dengan pihak MRT (Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd) juga nanti, jadi insya-Allah dalam minggu depan ada siri perbincangan yang lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan